Menteri Pertahanan teliti isu peletakan jawatan pengurusan tertinggi LTAT, beri laporan kepada Kabinet - PM Anwar | DagangNews Skip to main content

Menteri Pertahanan teliti isu peletakan jawatan pengurusan tertinggi LTAT, beri laporan kepada Kabinet - PM Anwar

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Feb - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan memberi laporan kepada Kabinet berhubung peletakan jawatan pengurusan tertinggi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Perdana Menteri berkata, Mohamed Khaled telah ditugaskan untuk meneliti perkara itu.

 

"(Penelitian beliau) kemudiannya akan dilaporkan kepada Kabinet," kata Anwar kepada pemberita selepas melancarkan Hab Kewangan Antarabangsa di Exchange 106 di TRX hari ini.

 

Pada Isnin lepas, seorang lagi anggota kepimpinan LTAT meletak jawatan, yang ketiga pada bulan lalu daripada badan yang menguruskan dana pencen untuk kira-kira 120,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia yang sedang berkhidmat.

 

Ketua peruntukan aset strategik atau pengarah kanan strategi LTAT, Dayana Rogayah Omar, 39, meletak jawatan pada Isnin lepas, The Star melaporkan.

 

Jurucakap LTAT berkata, Dayana meletak jawatan untuk mengejar kepentingan lain dan kini sedang menamatkan tempoh notisnya.

 

 

anwar
Datuk Seri Anwar Ibrahim

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Lagi pengurusan kanan LTAT letak jawatan: Khaled Nordin nafi terlibat, serah pemangku CEO jawab

 

 

LTAT
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

 

 

Ia berikutan peletakan jawatan ketua pegawai eksekutif, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman pada 31 Januari dan pengerusi, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pada 8 Februari. - DagangNews.com