Mentiga rugi RM1.69 juta pada 4Q20 | DagangNews Skip to main content

Mentiga rugi RM1.69 juta pada 4Q20

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Mac - Anak syarikat Amanah Saham Pahang Berhad, Mentiga Corporation Berhad menyaksikan kerugian bersih yang dicatatkan pada suku keempat tahun kewangan 2020 (4Q20) mencecah RM1.69 juta, berbanding keuntungan bersih RM8.63 juta pada tempoh sama tahun lalu.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, Mentiga memberitahu, suku sama turut mencatatkan kerugian sebelum cukai bernilai RM1.03 juta berbanding RM7.86 juta pada suku sebelumnya. 

 

“Keuntungan sebelum cukai yang ketara untuk suku sebelumnya adalah disebabkan oleh pendapatan pengiktirafan dari pengekstrakan kayu dan perdagangan produk berkaitan kayu,” jelasnya. 

 

Mentiga juga tidak mengisytiharkan sebarang dividen bagi tempoh kewangan tersebut. 

 

Bagi prestasi keseluruhan tahun kewangan 2020 (FY20) yang berakhir 31 Disember lalu, Mentiga mencatatkan hasil yang lebih rendah iaitu RM14.93 juta berbanding RM15.21 juta hasil dicatatkan pada 4Q19.

 

Kumpulan syarikat juga merekodkan keuntungan sebelum cukai yang lebih rendah iaitu RM1.49 juta berbanding RM4.67 juta pada tempoh sama pada tahun sebelumnya.

 

“Bagi tahun hadapan, syarikat menjangkakan hasil dari perladangan minyak sawit, aktiviti berkaitan kayu dan perlombongan akan terus menyumbang kepada perolehan kumpulan. 

 

“Tanpa sebarang situasi yang tidak dijangkakan, Lembaga Pengarah melihat kumpulan akan mencatatkan prestasi memberangsangkan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021,” tambah Mentiga.

 

Untuk rekod, Mentiga mencatatkan aliran pendapatan menerusi tiga segmen perniagaan utama iaitu produk kayu-kayan, perladangan sawit dan perlombongan.

 

Setakat 2.40 petang, nilai saham Mentiga menyusut 7 sen kepada 79 sen. - DagangNews.com