Menyokong perniagaan dengan perkhidmatan Ekonomi Kejiranan digital ProppyApp | DagangNews Skip to main content

Menyokong perniagaan dengan perkhidmatan Ekonomi Kejiranan digital ProppyApp

 

KUALA LUMPUR 28 Jun – ProppyApp, portal hartanah semua dalam satu, telah melancarkan perkhidmatan ‘ekonomi kejiranan’ baharu pada app portal tersebut yang dikenali sebagai ‘ProppyCares’, yang membolehkan perniagaan setempat berhubung dengan pengguna dan pelanggan di kawasan mereka.

 

Kini ketika perniagaan di kawasan setempat terjejas teruk akibat pandemik, mereka mencari jalan lain untuk meneruskan perniagaan, termasuk menggunakan teknologi demi kelangsungan punca pendapatan mereka. ProppyCares membantu perniagaan yang berkait dengan hartanah dan tukang seperti juruelektrik, pembaik dan penyenggara penyaman udara, tukang paip, kontraktor pengubahsuaian rumah dan tukang cuci dengan menyenaraikan perniagaan mereka di platform penyenaraian peniaganya.

 

Terdapat lebih 30 kategori perkhidmatan di mana pelanggan yang mencari perniagaan berkaitan dengan hartanah boleh mendapatkan perkhidmatan yang dicari. Ciri geo-tagging pada app tersebut menyenaraikan perniagaan yang berkenaan yang paling hampir dengan lokasi pelanggan, di mana pelanggan boleh berhubung dan berinteraksi dengan peniaga tersebut melalui ciri bual dalam app tersebut yang dikenali sebagai ‘Beep!’.

 

App ini juga membolehkan pelanggan menghantar ulasan dan sokongan mereka bagi peniaga tersebut, yang membolehkan sesiapa sahaja yang mencari perkhidmatan tersebut menilai dan memilih peniaga pilihan mereka.

 

Ketua Penyelaras dan Pengasas ProppyApp, Lee Willson berkata, apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membendung pandemik COVID-19 pertama kali diumumkan di Malaysia setahun yang lalu pada 18 Mac 2020, ekonomi tempatan terjejas teruk dan perniagaan.

 

Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) ujar beliau, yang merupakan tulang belakang ekonomi Malaysia, telah mengalami kerugian besar dan perniagaan terhenti kerana tidak diketahui dengan jelas selama manakah PKP akan dilaksanakan.

 

Lee Wilson
Ketua Penyelaras dan Pengasas ProppyApp, Lee Willson

 

“Walaupun sebilangan daripada mereka telah berjaya menjalani transformasi digital dan mengalihkan perniagaan mereka ke dalam talian menerusi pendaftaran dengan app pihak ketiga, terdapat juga perkhidmatan penting yang diberikan oleh juruelektrik, tukang paip dan perkhidmatan lain yang tidak termasuk dalam ekonomi digital,” ujarnya dalam kenyataan di sini.

 

Dalam menghadapi cabaran ini, ProppyApp telah memutuskan untuk melancarkan dan memulakan perkhidmatan kejiranannya di bawah ‘ProppyCares’ untuk menyokong perniagaan dan perkhidmatan yang berkait dengan hartanah supaya mereka dapat kekal relevan terutamanya dalam tempoh pelaksanaan PKP dan SOP yang tegas yang tidak membenarkan perjalanan merentas sempadan.

 

ProppyApp adalah syarikat permulaan teknologi hartanah baharu yang dipengerusikan oleh Tunku Naquiyuddin ibni Tuanku Ja’afar, yang merupakan Pengerusi Antah-Healthcare dan Techna-X.

 

tunku naquiyuddin
Tunku Naquiyuddin ibni Tuanku Ja’afar

 

Matlamat syarikat ini adalah untuk membawa perubahan kepada industri hartanah dalam talian dan teknologi hartanah dengan menggabungkan teknologi terkini dalam bidang AI, dan GPS geo-tagging untuk menyediakan strategi pemulihan yang pantas dan segera supaya perniagaan kecil lebih berdaya saing, iaitu dengan membolehkan mereka menawarkan lebih banyak produk dan perkhidmatan kepada pelanggan berhampiran mereka.

 

Pada ketika ini, ProppyApp dalam promosi pengenalannya adalah terbuka kepada semua peniaga, tukang secara umumnya dan perkhidmatan pembaikan dan penyenggaraan yang berkait dengan kediaman yang boleh mendaftar secara percuma bagi pakej Basic Merchant. Syarikat ini juga akan membuka pasaran penyenaraian hartanah kepada ejen hartanah dan pemilik kediaman tidak lama lagi. - DagangNews.com

 

 

kreatif