Meraque, MDV bentuk kerjasama perkukuh pertumbuhan global | DagangNews Skip to main content

Meraque, MDV bentuk kerjasama perkukuh pertumbuhan global

Md Razalee Ismail (kiri) dan Nizam Mohamed Nadzri
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Julai - Meraque Services Sdn Bhd (Meraque) mengumumkan kerjasama dengan Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) untuk memudahkan pertumbuhan dan pengembangan operasi Meraque di pasaran Malaysia dan rantau ASEAN.

 

Kerjasama itu memberi tumpuan utama kepada sektor pertanian, perladangan, infrastruktur dan sektor telekomunikasi melalui kemudahan pembiayaan khusus MDV.

 

Pengumuman itu dibuat pada Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MiACES) 2022, yang dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Meraque, Md Razalee Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif MDV, Nizam Mohamed Nadzri yang  disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin.

 

Mengulas mengenai pengumuman itu, Dr Adham berkata, MDV komited menyokong usaha kerajaan dalam mengembangkan ekosistem syarikat teknologi baharu secara holistik dan mampan dengan memastikan kapasiti pembiayaan syarikat pemula dipertingkatkan secara berterusan, terutamanya semasa tempoh pemulihan pasca pandemik. 

 

Beliau berkata, MDV secara konsisten berusaha untuk meningkatkan sokongan pembiayaannya untuk syarikat-syarikat teknologi baharu berpotensi tinggi seperti Meraque bagi memastikan pertumbuhan mereka sehingga mencapai potensi maksimum.

 

“Sebagi contoh, dalam sektor pertanian, isu pembangunan dan pengeluaran telah mendorong keperluan untuk sektor itu memanfaatkan teknologi dan inovasi terkini bagi meningkatkan produktiviti dan memastikan kecekapan lebih tinggi dalam pengeluaran makanan dengan menggunakan dron sebagai salah satu potensi penyelesaian teknologi. 

 

"Kerjasama antara Meraque dan MDV hari ini adalah konsisten dengan matlamat MOSTI untuk menerajui pembangunan industri teknologi dron tempatan dan memastikan Malaysia mampu menjadi antara 10 negara teratas di seluruh dunia dalam persediaan (peraturan) dron dan penggunaan dron (pasaran) menjelang 2030.

 

 

meraque

 

 

“Adalah menjadi harapan kerajaan agar lebih banyak syarikat penyedia perkhidmatan teknologi seperti Meraque akan terus bekerjasama dengan syarikat-syarikat dalam sektor pertanian untuk mencapai objektif kerajaan ke arah mencapai kemampanan dalam pengeluaran dan keselamatan makanan di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Md Razalee Ismail menambah, potensi pembiayaan MDV akan memainkan peranan penting dalam usaha Meraque meningkatkan pengeluaran dronnya kepada sekurang-kurangnya 100 dron setahun, meningkatkan operasi global dan peningkatan pendapatan tiga kali ganda dalam tempoh tiga tahun akan datang.

 

“Meraque telah membangunkan Dron Penyembur Hibrid Malaysia yang pertama pada 2020 bagi tujuan penyemburan racun perosak dan baja di ladang tempatan.

 

"Pada masa ini, Meraque mengawal bahagian pasaran terbesar untuk perkhidmatan dron penyemburan di Malaysia dan sedang mencari sekurang-kurangnya 500 bakat tempatan untuk dilatih dan diupah menjelang akhir 2023 bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat di sektor perladangan kelapa sawit serta tanah pertanian bersaiz besar seperti ladang durian, getah, kelapa, sawah dan nanas.

 

"Pembiayaan daripada pembiaya berteknologi seperti MDV adalah penting untuk memastikan kami dapat mencapai sasaran perniagaan seperti yang dirancang,” katanya. - DagangNews.com