Meraque, Pharmaniaga guna dron hantar bekalan ubat kepada mangsa banjir | DagangNews Skip to main content

Meraque, Pharmaniaga guna dron hantar bekalan ubat kepada mangsa banjir

 

 


KUALA LUMPUR 6 Jan - Syarikat teknologi dron, Meraque Services Sdn. Bhd. bekerjasama dengan Pharmaniaga Bhd. untuk menghantar ubat-ubatan kritikal kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh Kuala Langat menggunakan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV).

 

Diketuai oleh pasukan juruterbang Meraque, perkhidmatan 4 dron digunakan selama 3 hari pada 22 Disember lalu bagi melakukan kerja-kerja menghantar bekalan perubatan kritikal oleh Pharmaniaga kepada lebih 30 buah rumah di sekitar Bandar Seri Ehsan, Banting, Selangor.

 

Dron-dron tersebut diterbangkan sehingga kira-kira 8.6 kilometer (km) bersamaan lebih 25km jika menggunakan jalan sebenar dan setiap dron mempunyai kemampuan membawa muatan seberat 5 kilogram dan bergerak sejauh 20km.

 

Md Razalee Ismail
Md Razalee Ismail

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Meraque, Md Razalee Ismail berkata, kejayaan penggunaan dron dan penghantaran ubat-ubatan tersebut membuktikan kemampuan konsep penggunaan dron dalam penghantaran perubatan gred
farmaseutikal. 

 

Katanya, walaupun dengan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan, cabaran geografi dan ruang pendaratan yang terhad, operasi ini terbukti berjaya dilaksanakan.

 

"Kaedah ini lebih berkesan dari segi kos dan masa berbanding dengan cara penghantaran barangan kecemasan secara tradisional, tanpa menjejaskan keselamatan, keberkesanan dan kualiti ubat-ubatan yang dikekalkan spesifikasi suhu produk.

 

"Kerjasama daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sangat penting kepada Meraque dan Pharmaniaga bagi memastikan operasi perkhidmatan UAV yang dilaksanakan di kawasan banjir berjalan dengan lancar, selamat dan mematuhi segala peraturan teknikal," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Selepas ubat-ubatan diterima dan dibawa kepada lokasi sasaran, kakitangan perubatan yang berada di kawasan tersebut akan memastikan ia diagihkan dengan selamat kepada penduduk yang berada di pusat pemindahan banjir. Bekalan perubatan tersebut dibekalkan oleh kakitangan Pharmaniaga.

 

Meraque yang membekalkan teknologi dron dalam operasi tersebut merupakan sebuah syarikat teknologi tempatan yang mengambil bahagian dalam inisiatif Sandbox Inovasi dan Teknologi Nasional (NTIS) diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

 

Syarikat tersebut menggunakan bakat-bakat tempatan dalam membina penyelesaian Penyemburan Dron Hibrid untuk sektor pertanian dan penyelesaian perisian perusahaan mengikut pesanan serta perkhidmatan tempahan untuk pelanggan seperti Sime Darby Plantation Bhd., Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Boustead Holdings Bhd. dan Pharmaniaga. -DagangNews.com