Meraque sasar bangunkan kilang pembuatan produk teknologi UAV, AGV di China | DagangNews Skip to main content

Meraque sasar bangunkan kilang pembuatan produk teknologi UAV, AGV di China

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Julai - Meraque Group, sebuah syarikat dron dan robotik Malaysia yang menawarkan rumusan berasaskan teknologi kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) dan robotik hari mengumumkan syarikat itu menerima anugerah Global Youth ketika menyertai Pertandingan Inovasi & Keusahawanan Belia Global di Shandong, China, baru-baru ini.

 

Pertandingan anjuran Pejabat Hal Ehwal Luar Shandong itu diadakan dari 7 hingga 8 Julai 2023 sempena Persidangan Belia Global 2023 dengan disertai para peserta pelbagai negara dari seluruh dunia dan Meraque merupakan satu-satunya syarikat yang mewakili Malaysia.

 

Hasil daripada prestasi cemerlang Meraque di Shandong, syarikat itu mendapat beberapa tawaran perkongsian dan kerjasama dengan beberapa syarikat tempatan yang akan menyaksikan penubuhan kemudahan pembuatan produk keluaran Meraque di wilayah Shandong.

 

Kemudahan pembuatan itu akan dikhususkan untuk menghasilkan pengeluaran produk-produk berasaskan teknologi Meraque terpilih, termasuk UAV dan Kenderaan Darat Autonomi (AGV) untuk memenuhi pasaran China dan juga global. 

 

Lanjutan dari pertemuan dengan kerajaan dan syarikat yang diadakan, Meraque kini sedang memuktamadkan syarat-syarikat kerjasama tersebut.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Meraque, Md Razalee Ismail berkata, penerimaan anugerah itu mengukuhkan lagi komitmen mereka untuk menyokong cita-cita Malaysia menjadi pemain utama dalam industri dron global dan hab dron berpotensi di ASEAN.

 

"Kami benar-benar berbesar hati dipilih untuk menerima anugerah berprestij dan meletakkan Malaysia di peta dunia. Meraque berada di ambang pertumbuhan industri yang berpotensi tinggi dan kami sangat teruja dengan peluang ini untuk mengembangkan lagi penawaran produk kami ke pasaran China.

 

 

meraque
Md Razalee Ismail menerima anugerah Global Youth ketika menyertai Pertandingan Inovasi & Keusahawanan Belia Global di Shandong, China, baru-baru ini.

 

 

"Kami sangat gembira dapat bekerjasama dengan syarikat terkenal di China yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang mereka dan akan memberi kami kelebihan apabila beroperasi di sini," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Menurut Razalee, tahun lalu pihaknya membentangkan rancangan untuk mengukuhkan keupayaan teknologi mereka dengan usaha pengembangan global dan beliau harus mengakui bahawa Meraque sedang mencapai kemajuan yang besar dalam rancangan tersebut.

 

"Sejak itu, Meraque telah meningkatkan barisan aplikasi teknologi syarikat bersama-sama dengan tawaran perisian-sebagai-perkhidmatan, yang membolehkan kami memenuhi keperluan pelbagai industri - daripada pertanian kepada telekomunikasi. 

 

"Anugerah dan kerjasama ini adalah bukti dedikasi kami terhadap misi syarikat dan kami baru sahaja bermula," katanya.

 

Terdahulu, Razalee membentangkan mengenai rumusan dan produk keluaran mereka kepada panel hakim pada 7 Jun lepas dan kemudiannya berjaya dipilih sebagai pemenang bagi kategori rantau ASEAN. 

 

Rumusan yang dikemukakan termasuk produk berkaitan UAV serta AGV pertanian hasil ciptaan syarikat itu. - DagangNews.com