Meraque sasar latih 500 belia menjelang 2023 bagi sertai industri dron | DagangNews Skip to main content

Meraque sasar latih 500 belia menjelang 2023 bagi sertai industri dron

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Jan - Syarikat teknologi dron Malaysia, Meraque Services Sdn. Bhd. (Meraque) bekerjasama dengan Kelab Remaja Udara Malaysia (KRUM), Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Parlimen Tenggara bagi melatih 500 belia menjelang 2023 bagi menyertai bidang kerjaya industri dron.

 

Program Pembangunan Kerjaya Teknologi Dron Generasi Muda Malaysia selama dua hari itu dianjurkan selama dua hari itu antara lain memberikan pendedahan awal kepada belia yang berminat dalam industri itu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Meraque, Md. Razalee Ismail berkata, Malaysia berhasrat untuk menjadi pemain utama dalam industri dron secara global selain menjadi hab teknologi berkenaan di rantau ASEAN dan ketika ini terdapat keperluan mendesak dalam melahirkan lebih ramai pekerja mahir dalam sektor itu.
 

"Program pembangunan kerjaya ini merupakan langkah pemangkin dalam memastikan terdapat kumpulan tenaga kerja dengan kemahiran yang betul untuk membantu pertumbuhan industri yang sedang meningkat ini. 

 

"Program ini juga melambangkan komitmen Meraque untuk menjadi sebuah syarikat yang mempelopori pembangunan modal insan dalam industri teknologi dan pembuatan untuk bakat-bakat muda tempatan termasuk di kawasan Parlimen Tenggara.
 

“Kemajuan dalam industri dron berubah dengan pantas dan kita mesti sentiasa bersedia. Kami akan berusaha untuk memastikan generasi muda negara dapat menyesuaikan diri dalam anjakan teknologi ini dan seterusnya merebut peluang yang ditawarkan dalam pasaran," katanya dalam satu kenyataa, hari ini.

 
Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr. Adham Baba, yang turut berkongsi pandangan mengenai kepentingan inisiatif ini ketika negara sedang menceburi secara mendalam ke dalam era Revolusi Perindustrian keempat.
 

Beliau berkata, negara menyedari mengenai aplikasi teknologi dron yang kini digunakan secara meluas dalam pelbagai sektor dan memberikan teknologi alternatif yang lebih selamat, murah serta cekap.
 

“Selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, langkah-langkah proaktif mesti dipertingkatkan untuk belia kita merebut peluang dalam industri dron dunia dan seterusnya membuka kunci kekayaan ekonomi baharu untuk negara.
 

“Saya menggalakkan belia Malaysia merebut peluang ini. Berusaha untuk meningkatkan pengetahuan dan mempelajari kemahiran teknologi dalam bidang baharu seperti dron akan mempertingkatkan keupayaan dan daya saing anda bagi memacu kemajuan negara. 
 

"Saya berharap lebih banyak syarikat akan bergabung dengan kerajaan untuk membina negara menggunakan penyelesaian teknologi yang mampan dan menyokong komitmen negara terhadap rangka kerja Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG)," katanya.
 

Industri dron telah berjaya menarik minat ramai dengan pasaran dron global diramalkan mencapai AS$41.3 bilion (RM173.07 bilion) pada 2026. - DagangNews.com