Mercedes-Benz Malaysia, bomba jalin kerjasama tingkatkan kesediaan bantuan kecemasan EV | DagangNews Skip to main content

Mercedes-Benz Malaysia, bomba jalin kerjasama tingkatkan kesediaan bantuan kecemasan EV

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Julai - Mercedes-Benz Malaysia komited menyokong aspirasi negara menjadi hab Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dengan melancarkan program latihan kecemasan EV bersama pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Puchong, Selangor.

 

Memandangkan penggunaan EV semakin bertambah di Malaysia, keperluan bantuan kecemasan terlatih dalam pengurusan insiden berkaitan EV semakin penting. 

 

Sehubungan itu, Mercedes-Benz Malaysia menganjurkan program Pemanduan EV: Orientasi Pasukan Bomba dan Penyelamat bagi memenuhi keperluan itu.

 

Lebih 40 anggota bomba menyertai latihan itu merangkumi aspek teori serta praktikal dalam pengurusan insiden kenderaan elektrik dengan selamat.

 

Menurut Mercedes-Benz Malaysia, latihan itu termasuk mengenal pasti model EV, mengendalikan kenderaan voltan tinggi, penggunaan pengimbas bateri, aplikasi selimut api, protokol kecemasan dan penggunaan Aplikasi Bantuan Penyelamat. 


 
Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Mercedes-Benz Cars Malaysia, Amanda Zhang menekankan kepentingan kerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam mewujudkan ekosistem kondusif untuk pemandu dan EV.

 

“Inisiatif ini merupakan komitmen Mercedes-Benz Malaysia terhadap keselamatan awam dengan melengkapkan pasukan penyelamat pengetahuan dan alatan diperlukan dalam menguruskan situasi kecemasan membabitkan EV.

 

“Ini bukan sahaja meningkatkan keselamatan anggota penyelamat dan penumpang kenderaan tetapi meminimumkan masa tindak balas sekaligus menghasilkan kecekapan operasi maksimum," katanya dalam kenyataan. 

 

Sementara itu, Penguasa Kanan Bomba (PgKB) I, Mohd Tilmizi Mustapa berkata trend kenderaan elektrik yang meningkat menekankan keperluan untuk anggota penyelamat memahami cabaran pemanduan EV.  

 

“Latihan khusus itu akan mengurangkan risiko semasa insiden, meningkatkan kecekapan dan keselamatan pasukan sekaligus menguruskan situasi dengan berkesan sambil meminimumkan bahaya kepada diri mereka sendiri dan orang ramai,” ujarnya. 


 
Sementara itu, syarikat itu menyediakan latihan praktikal dalam Aplikasi Bantuan Penyelamat Mercedes-Benz untuk anggota penyelamat mengakses maklumat kenderaan kritikal dengan cepat. 

 

Melalui kod QR, pasukan penyelamat memperoleh data khusus kenderaan dengan segera, walaupun dalam senario di mana kod QR tidak boleh diakses supaya penyelamat dapat capaian maklumat pantas dalam situasi kecemasan yang kesuntukan masa.

 

Selain itu, Naib Presiden Perkhidmatan Pelanggan Mercedes-Benz Cars Malaysia, Edmin Naidoo berkata, semua pakar teknikal berkelayakan di pusat servis dilatih dengan teliti untuk mengendalikan kerumitan EV.

 

“Tahap kepakaran itu memastikan pelanggan kami menerima standard keselamatan dan perkhidmatan teringgi." tambahnya.- DagangNews.com