KUALA LUMPUR 3 Nov - Kilang pengeluaran Mercedes-Benz di Pekan, Pahang meraikan satu lagi kejayaan apabila melancarkan kereta penumpang jenama premium yang ke 100,000 unit.
Pencapaian luar biasa itu menggariskan komitmen dan dedikasi syarikat itu terhadap kecemerlangan pembuatan dan inovasi dalam industri automotif mewah.
Mercedes-Benz Malaysia komited untuk meningkatkan sumbangan ekonomi tempatan dengan usaha pelaburan berterusan melebihi RM500 juta setakat ini untuk kilang di Pekan.
Selain itu, pelaburan itu mengukuhkan kualiti pengeluaran kenderaan tempatan syarikat dan memupuk pertumbuhan jenama automotif yang paling diingini di dunia.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz Cars Malaysia, Amanda Zhang berkata, Mercedes-Benz menjadi pengeluar automotif mewah pertama dan satu-satunya yang menguasai proses pengeluaran tempatan di Malaysia.
"Sejak ditubuhkan pada 2004, kilang pengeluaran Mercedes-Benz di Pekan telah memainkan peranan penting dalam membentuk landskap automotif Malaysia.
"Pencapaian penting tahun ini menyerlahkan perkembangan dan perjalanan luar biasa kilang itu, mengukuhkan komitmen kami untuk memperkasakan kedudukan kami dalam segmen kereta mewah," katanya dalam kenyataan media di sini.
Turut hadir pada majlis itu, Pengurus Besar Hicom Automotive Manufacturers (Malaysia) Sdn Bhd, Noor Reizman Mohamad, Amanda Zhang, Naib Presiden Pengeluaran di Mercedes-Benz Cars Malaysia, Andreas Lettner; Ketua Pegawai Kewangan Mercedes-Benz Cars Malaysia, Aleksandra Lukasiak dan Ketua Pegawai Eksekutif Hicom Automotive Manufacturers (Malaysia) Sdn Bhd, Ismail Pandak
Dalam pada itu, sebuah lagi pencapaian penting yang dicatatkan pada awal tahun ini ialah kejayaan pengeluaran model EQS 500 4MATIC pemasangan tempatan (CKD).
Ia mempercepatkan pemacu mobiliti elektrik jenama ini dan membentuk masa depan pembuatan automotifnya, serta hala tuju kilangnya di Malaysia. Dengan cara ini, syarikat secara konsisten melaksanakan strategi Mercedes-Benz ke arah 'elektrik sahaja'.
Ketika Mercedes-Benz Malaysia berusaha untuk menyokong masa depan serba elektrik sejajar dengan wawasan globalnya, Mercedes-Benz Cars bersedia untuk menggunakan semua elektrik menjelang akhir dekad ini di mana-mana pasaran berkaitan.
Komitmennya terhadap kemampanan adalah aspek asas dalam strategi perniagaannya, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDGs).
Menerusi 'Ambition 2039', syarikat menetapkan sasaran untuk menjadikan kumpulan kenderaan baharu karbon neutral bersih sepanjang kitaran hayat kenderaan menjelang 2039. - DagangNews.com