Mercury Securities dilantik sebagai penasihat utama pelan penyusunan semula Top Builders | DagangNews Skip to main content

Mercury Securities dilantik sebagai penasihat utama pelan penyusunan semula Top Builders

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Top Builders Capital Berhad melantik Mercury Securities sebagai penasihat utama kepada pelan penyusunan semula syarikat itu.

 

"Syarikat akan membuat pengumuman yang perlu berhubung perkembangan mengenai perkara itu dengan sewajarnya," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Top Builders yang merupakan syarikat Nota Amalan 17 (PN17) gagal menyerahkan pelan penyelarasannya kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia atau Bursa Securities untuk kelulusan pada 29 Jun lalu.

 

Permohonan syarikat untuk lanjutan masa sehingga 29 Disember ini untuk mengemukakan pelan penyusunan semulanya juga telah ditolak.

 

Oleh itu, saham Top Builders akan dinyahsenarai daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 8 Ogos ini melainkan rayuan dikemukakan kepada Bursa menjelang hari ini.

 

Top Builders jatuh ke dalam status PN17 pada Januari 2022, apabila juruaudit luarnya KPMG PLT menyatakan keraguan terhadap keupayaan syarikat untuk meneruskan usaha berterusan kerana liabiliti semasanya melebihi aset semasanya sebanyak RM21.6 juta.

 

Ketika itu, ekuiti syarikat pada asas disatukan adalah kurang daripada 25% daripada modal sahamnya.

 

Dagangan saham Top Builders digantung sejak 8 November 2022 sementara menunggu laporan tahunannya bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022.

 

Penggantungan itu berterusan selepas Top Builders gagal menyerahkan satu lagi laporan tertunggak untuk tiga bulan berakhir 31 Mac 2023.- DagangNews.com