Mercury Securities meterai perjanjian taja jamin bersama Public Investment untuk penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Mercury Securities meterai perjanjian taja jamin bersama Public Investment untuk penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Chew Sing Guan (kiri) bersama Lee Yo-Hunn pada majlis memeterai perjanjian taja jamin antara Mercury Securities Group Berhad bersama Public Investment Bank Berhad.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Julai - Mercury Securities Group Berhad memeterai perjanjian taja jamin bersama Public Investment Bank Berhad untuk tawaran awam permulaan (IPO) dan penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Mercury Securities merupakan syarikat pegangan pelaburan dan melalui anak syarikat milik penuhnya, Mercury Securities Sdn. Bhd. yag terlibat dalam penyediaan broker saham, khidmat nasihat kewangan korporat dan perniagaan lain yang berkaitan seperti perkhidmatan kemudahan pembiayaan margin, perkhidmatan taja jamin dan penempatan, serta penyediaan penama dan perkhidmatan penjaga.

 

IPO tersebut melibatkan terbitan awam sebanyak 157.1 juta saham biasa baharu (saham terbitan) dan tawaran untuk penjualan 71.51 juta saham biasa sedia ada masing-masing mewakili 17.59% dan 8.01% saham terbitan Mercury Securities yang diperbesarkan daripada 893 juta saham biasa.

 

Sejumlah 44.65 juta saham terbitan mewakili 5% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan untuk permohonan oleh orang awam Malaysia dengan 50% daripadanya akan diketepikan untuk pelabur Bumiputera manakala 22.33 juta saham terbitan mewakili 2.5% adalah untuk permohonan oleh pengarah, pekerja dan individu yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.

 

45.47 juta saham terbitan mewakili 5.09% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan yang disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih dan baki 44.65 juta saham mewakili 5% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan dan disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh MITI.

 

Public Investment akan menaja jamin 66.98 juta saham terbitan yang disediakan untuk permohonan oleh orang awam Malaysia dan orang yang layak.

 

Pengarah Urusan Mercury Securities, Chew Sing Guan berkata, penyenaraian itu akan meningkatkan reputasi mereka di pasaran dan membolehkan ramai pihak mengambil bahagian dalam pertumbuhan dan pengembangan berterusan kumpulan.

 

Beliau berkata, pencapaian itu akan membawa kumpulan itu ke tahap yang lebih tinggi dengan memanfaatkan peluang baharu bagi memenuhi keperluan pelanggan dan trend yang semakin berkembang di pasaran. 

 

"Kumpulan kami akan kekal fokus dan komited untuk terus menyediakan produk dan penyelesaian inovatif yang mencipta nilai untuk pelanggan selain komited untuk membangunkan program pendigitalan bagi memperbaharui penawaran produk dan perkhidmatan kepada pelanggan," katanya. dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Public Investment, Lee Yo-Hunn berkata, pihaknya berbesar hati menjadi penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal Mercury Securities. 

 

"Penyenaraian itu pastinya akan memberi petanda baik kepada Mercury Securities untuk memanfaatkan pasaran modal untuk rancangan pertumbuhan dan pengembangannya," katanya. - DagangNews.com