Mercury Securities mulakan liputan terhadap UWC dengan saranan 'beli' pada TP RM3.67 | DagangNews Skip to main content

Mercury Securities mulakan liputan terhadap UWC dengan saranan 'beli' pada TP RM3.67

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Julai - Mercury Securities Research memulakan liputan terhadap UWC Berhad dengan saranan 'beli' pada harga sasaran (TP) RM3.67.

 

Firma itu menyukai syarikat itu mereka memiliki pelan perancangan yang menarik dan rekod prestasi cemerlang dan berada pada kedudukan terbaik untuk memanfaatkan perkembangan pasaran semikonduktor.

 

Katanya, Perangkaan Perdagangan Semikonduktor Dunia (WSTS) mengunjurkan pasaran semikonduktor akan berkembang sebanyak 16.3% untuk 2022 dan 5.1% pada 2023.

 

"UWC ialah pusat penyelesaian sehenti yang menyediakan modul kepada pembuatan pemasangan siap guna penuh bagi peralatan ujian automatik (ATE) daripada semikonduktor kepada industri sains hayat. 

 

"Projek penguji gelombang 5G baharu untuk peranti pintar dan projek emulator penderia komunikasi kenderaan-ke-kenderaan (V2V) dijangka dimulakan menjelang 2H22 dan menyumbang RM50 juta kepada pendapatan setiap tahun. 

 

"Syarikat itu menjangkakan untuk menjual 10 unit penguji dan 10 unit emulator setiap bulan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, pada FY21, berjaya mendapatkan kilang seluas 120,000 kaki persegi di Taiping untuk meningkatkan kapasiti pengeluarannya bagi menyediakan rawatan kemasan dan fabrikasi kepingan logam, yang mula beroperasi pada April 2022.

 

Kumpulan itu juga katanya, berjaya mendapatkan tanah seluas 4.89 hektar di Batu Kawan bagi membina kilang baharu dengan keluasan hampir 500,000 kaki persegi yang akan menjadikan kawasan seluas 1 juta kaki persegi yang dijangka siap pada 1H24.

 

"Sejumlah hampir RM200 juta perbelanjaan modal diperuntukan untuk kilang itu dan akan digunakan sepenuhnya untuk tiga tahun berikutnya," katanya. - DagangNews.com