Mercury Securities saran pelabur dapatkan saham Seng Fong, harga sasaran 82 sen | DagangNews Skip to main content

Mercury Securities saran pelabur dapatkan saham Seng Fong, harga sasaran 82 sen

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Jun - Mercury Securities menyarankan pelabur untuk mendapatkan saham Seng Fong Holdings Berhad selepas kumpulan itu akan disenaraikan ke Bursa Malaysia tidak lama lagi.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu menerbitkan tawaran awam permulaan (IPO) bernilai 75 sen dan harga sasaran 82 sen berdasarkan pendapatan tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23) sesaham 7.2 sen dan nisbah harga-pendapatan sebanyak 11.4 kali sejajar dengan sektor perindustrian satu tahun ke hadapan.

 

Katanya, mereka menyukai kumpulan itu kerana prospek pertumbuhannya yang menarik selain rekod prestasi yang kukuh disokong oleh sektor kenderaan dunia yang dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun lima tahun (CAGR) sebanyak 7.03% dari 2021 hingga 2025.

 

Harga sasaran mewakili potensi pulangan sebanyak 9.3% berbanding harga IPO.

 

Firma itu berkata, Seng Fong memiliki kekuatan pasaran eksport sebanyak 11.79% pada FY21berbanding jumlah eksport getah blok dari Malaysia.

 

Katanya, syarikat itu juga telah menguasai bahagian pasaran eksport ke China sebanyak 14.78% berbanding jumlah eksport getah blok Malaysia ke negara itu.

 

BACA JUGA: Seng Fong sasar RM68.1 juta daripada IPO di Papan Utama Bursa Malaysia

 

"Perniagaan itu didorong oleh permintaan eksport daripada pelanggan di China, Taiwan dan India.

 

"Untuk tempoh tiga tahun lalu bermula FY19 hingga FY21, jualan eksport mewakili kira-kira 99% daripada hasil syarikat," katanya.

 

Firma itu berkata,  syarikat itu berhasrat untuk meningkatkan kapasiti pengeluarannya dengan meningkatkan jumlah masa pengeluaran kepada 17 jam sehari, selain menambah syif kerja kedua dengan tambahan 48 dan 45 pekerja baharu masing-masing di kilang 2 dan 3.

 

Katanya, langkah itu dijangka meningkatkan jumlah kapasiti pengeluaran tahunan syarikat kepada 166,000 MTS setahun menjelang suku ketiga 2023, sejajar dengan pertumbuhan kapasiti pengeluaran tahunannya yang dijangka pada CAGR sebanyak 11.5% dari 1986 hingga 2023. - DagangNews.com