Mercury Securities semak naik unjuran keuntungan Pantech didorong peningkatan eksport keluli tahan karat | DagangNews Skip to main content

Mercury Securities semak naik unjuran keuntungan Pantech didorong peningkatan eksport keluli tahan karat

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Mei - Mercury Securities menyemak naik unjuran hasil dan keuntungan Pantech Group Holdings Berhad sebanyak 36.1% dan 23.6% bagi FY24 didorong permintaan minyak dan gas domestik yang lebih tinggi serta permintaan kukuh bagi eksport keluli tahan karat.

 

Firma itu berkata, keputusan kewangan kumpulan itu melebihi jangkaan, masing-masing mencapai 106.1% dan 119.2% daripada hasil tahun penuh dan ramalan keuntungan kami untuk FY23.

 

"Penyumbang utama adalah daripada bahagian pembuatan dan perdagangan, menyumbang 52.7% dan 47.3% kepada jumlah hasil bagi suku semasa.

 

"Keputusan lebih lemah disebabkan penghantaran yang lebih perlahan kepada projek minyak dan gas domestik serta harga bahan mentah yang lebih rendah menyebabkan purata harga jualan (ASP) produk yang lebih rendah," katanya dala satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, harga minyak semasa yang kukuh boleh mengukuh dan memberi impak positif kepada aktiviti modal berkaitannya seperti meningkatkan perbelanjaan dalam penyelenggaraan kemudahan serta aktiviti menaik taraf dalam industri minyak dan gas.

 

Katanya, ini akan meningkatkan permintaan untuk produk penyelenggaraan paip, injap serta kelengkapan (PVF) syarikat di pasaran tempatan dan antarabangsa.

 

Firma itu menjangkakan sumbangan lebih tinggi daripada industri minyak sawit.

 

"Kami berpendapat bahawa lebih banyak kontrak baharu akan diperoleh daripada industri minyak sawit berikutan harga minyak sawit yang kukuh. 

 

"Dengan lebih daripada 30,000 unit penyimpanan stok (SKU), syarikat berada pada kedudukan yang lebih baik untuk memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.15 sesaham. - DagangNews.com