Merdeka 118 akan jadi pemangkin baharu ekonomi Kuala Lumpur - PM | DagangNews Skip to main content

Merdeka 118 akan jadi pemangkin baharu ekonomi Kuala Lumpur - PM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 30 Nov - Pembinaan menara Merdeka 118 akan menjadi pemangkin baharu ekonomi bagi Kuala Lumpur dan saling melengkapi kawasan-kawasan lain yang sedang rancak membangun seperti KLCC dan KL Sentral.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembangunan menara itu juga akan memberi peluang kepada masyarakat setempat terutamanya di Jalan Petaling, Kampung Attap serta Pudu untuk menjana ekonomi setempat. 


 

PM

 


Beliau berkata, Merdeka 118 dilihat turut membawa semangat Keluarga Malaysia kerana selain memberi peluang komuniti  setempat membangunkan perniagaan, mereka juga dapat mengadakan program atau aktiviti untuk menambah daya tarikan di kawasan sekitar Merdeka 118 menerusi Program Geran Komuniti Merdeka 118.

 

"Permohonan Geran Merdeka 118 ini sudahpun dibuka pada 28 Jun sehingga 20 Ogos 2021, di mana sebelum ini Keluarga Malaysia memohon untuk mendapatkan tiga jenis geran iaitu sukan, seni dan komuniti perniagaan.

 

"Langkah ini secara langsung dapat menggalakkan penglibatan Keluarga Malaysia dalam perkongsian idea untuk mengaktifkan semula komuniti, membina lebih banyak peluang untuk pertumbuhan sosio-ekonomi," katanya pada Majlis Penyempurnaan Puncak Menara Merdeka 118, di sini hari ini.

 

Perdana Menteri berkata, menara itu juga merupakan cerminan penyatuan warisan dan sejarah Malaysia dengan evolusi masa hadapan selain mampu menghidupkan kembali kawasan bersejarah di kawasan bandar raya ini.

 

118

 

Beliau berkata, perkara itu dapat dilihat menerusi usaha yang sedang dilaksanakan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam memelihara khazanah negara seperti Stadium Merdeka dan Stadium Negara.

 

Beliau berkata, usaha tersebut adalah selaras dengan visi kerajaan untuk membangunkan Daerah Kreatif dan Budaya Kuala Lumpur (KLCCD) melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Think City dan Jabatan Warisan Negara.

 

1182

 

"Pelan Induk Strategik KLCCD ini bertujuan untuk mewujudkan ekosistem berpusatkan kreativiti dan budaya yang mampu merangsang ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat di Malaysia," katanya.

 

Sementera itu, Ismail Sabri berbangga kerana puncak menara itu dapat disempurnakan walaupun ketika negara berhadapan dengan COVID-19 dan ia bukan sahaja pencapaian yang hebat dalam bidang kejuruteraan malah mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai negara yang moden dan maju. 

 

1183

 

"Dengan penyempurnaan puncak menara hari ini, ia meletakkan Merdeka 118, kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa dan menara tertinggi di Malaysia serta Asia Tenggara.

 

"Saya juga difahamkan, Merdeka 118 akan menjadi menara pertama di Malaysia mencapai tiga penarafan platinum hijau dalam persijilan kelestarian antarabangsa serta persijilan WELL yang berprestij," katanya. - Dagangnews.com