KUALA LUMPUR 6 Sept - Mestron Holdings Bhd. memperoleh lagi RM13 juta kontrak menerusi segmen telekomunikasi (telco) di bawah projek Digital Nasional Bhd. (DNB) dan Universal Service Provision (USP).
Ia merupakan perolehan kedua daripada pelan infrastruktur digital nasional, Jalinan Digital Negara (Jendela) selepas kumpulan meraih kontrak RM17.5 juta pada Jun lalu.
DNB sedang giat melancarkan penggunaan 5G manakala inisiatif USP merapatkan jurang digital antara kawasan maju dan kawasan kurang liputan.
Pengarah Urusan Mestron, Por Teong Eng berkata, perolehan kontrak itu membuktikan komitmen dan rekod prestasi kumpulan dalam sektor telco.
Katanya, dengan komitmen kerajaan untuk memperkasa agenda keterhubungan di seluruh negara dan inisiatif Jendela, kedua-dua projek berkenaan menjanjikan peluang pertumbuhan yang meluas kepada kumpulan.
"Tahun ini merupakan tahun yang sibuk bagi kami kerana telah dianugerahkan pelbagai kontrak daripada pemain infrastruktur telco yang berbeza.
"Rekod prestasi kami dalam industri adalah kukuh, dan kami yakin akan mendapat manfaat daripada peningkatan dalam pelancaran projek infrastruktur telco dalam tempoh terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumpulan menyaksikan peningkatan mendadak dalam nilai kontrak dan mempunyai jumlah kontrak setakat tahun ini sebanyak RM53 juta.
Ini adalah selaras dengan pelancaran aktif penggunaan 5G yang secara beransur-ansur meraih momentum apabila Mestron menjana pendapatannya terutamanya daripada jualan tiang standard dan tiang khusus dalam segmen telco.
Beliau memberitahu, kontrak RM13 juta itu dijangka diselesaikan dalam tempoh enam bulan dan akan menyumbang secara positif kepada kumpulan dalam tempoh terdekat. - DagangNews.com