Mestron terima kelulusan kadar FiT daripada SEDA bagi loji biogas di Gua Musang | DagangNews Skip to main content

Mestron terima kelulusan kadar FiT daripada SEDA bagi loji biogas di Gua Musang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Mestron Holdings Berhad (MHB) menerusi anak syarikatnya, Liziz Biogas Sdn Bhd (LBSB), menerima kelulusan daripada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) mengenai kadar tarif galakan (FiT) yang disemak semula untuk loji biogasnya di Gua Musang.

 

Syarikat itu berkata kadar itu telah ditetapkan secara kompetitif pada 39.75 sen/kW berbanding 9 sen dan bermula pada 26 Julai 2023, selama 21 tahun.

 

Pengarah Urusannya, Por Teong Eng berkata, segmen tenaga boleh diperbaharui (RE) Mestron telah mengambil langkah proaktif dengan tarikh berkuat kuasa FiT.

 

“Kami menjangkakan perubahan ini akan menyumbang tambahan RM2 juta hingga RM3 juta setiap tahun kepada pendapatan syarikat untuk 21 tahun akan datang.

 

"Kepelbagaian perniagaan daripada perniagaan pembuatan teras membolehkan kami menjana pendapatan tambahan, mengukuhkan kedudukan dalam pasaran," katanya dalam satu kenyataan.

 

Untung bersih MHB pada FY22 berjumlah kira-kira RM10 juta dan dengan kadar FiT 39.75 sen/kW, segmen perniagaan RE biogas bersedia untuk menyumbang kira-kira 20% hingga 30% daripada jumlah pendapatan syarikat.

 

Menurut surat yang diterima oleh LBSB, SEDA mengesahkan kadar yang disemak, mengiktiraf bahawa syarikat itu telah memenuhi kriteria untuk kadar FiT.

 

Segmen tenaga boleh diperbaharui biogas mempunyai potensi besar untuk pertumbuhan kumpulan itu.

 

Dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, syarikat itu menyasarkan untuk mengembangkan kapasiti lojinya daripada 2.4MW sekarang kepada 3.2MW.

 

Kadar yang disemak semula itu akan diterjemahkan kepada pendapatan bersih sekitar RM3 juta setiap tahun.

 

Teong Eng berkata, MHB berada dalam kedudukan yang kukuh untuk mengekalkan momentum pertumbuhan dalam perniagaan pembuatannya, diterajui oleh peningkatan permintaan dalam sektor telekomunikasi.

 

Beliau berkata, perniagaan RE membolehkan MHB menjana satu lagi aliran pendapatan berulang yang konsisten.

 

"Kadar FiT baharu adalah tepat pada masanya dan mewajarkan pelaburan kami dalam segmen tenaga boleh diperbaharui biogas. Pengembangan ini menawarkan prospek lumayan untuk MHB, terutamanya dalam pasaran yang semakin condong ke arah pelaburan mampan.

 

"Kami percaya kami akan mendapat kelebihan sebagai salah satu penggerak pertama dalam pasaran," katanya. - DagangNews.com