Mesyuarat pemegang saham disaran diadakan secara fizikal bagi tingkatkan lagi keyakinan pelabur - SC | DagangNews Skip to main content

Mesyuarat pemegang saham disaran diadakan secara fizikal bagi tingkatkan lagi keyakinan pelabur - SC

Pengerusi Eksekutif SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sedang menjalankan kajian semula prosedur syarikat senaraian awam (PLC) Malaysia dalam menguruskan mesyuarat agung tahunan.

 

Melalui semakan tersebut, Pengerusi Eksekutif SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi mendapati banyak mesyuarat pemegang saham am masih diadakan dalam format maya sepenuhnya oleh Main Board dan syarikat ACE.

 

"Walaupun mesyuarat maya sepenuhnya adalah satu keperluan semasa pandemik, syarikat tersenarai mesti mengambil langkah beralih kembali kepada mesyuarat fizikal atau hibrid," katanya semasa Forum Tinjauan Perniagaan Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti 2024 pada hari ini.

 

Beliau berkata langkah itu akan menimbulkan lebih banyak kepercayaan dalam kalangan PLC.

 

“Lagipun, membina kepercayaan dalam pasaran modal adalah penting untuk menarik pelaburan serta membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) dan pasaran modal secara amnya,” ujar beliau.

 

Selain itu, SC telah melancarkan Pelan Induk Pasaran Modal 3 pada 2021 bagi memperkukuhkan keperluan bagi mewujudkan persekitaran untuk memacu pertumbuhan MSME.

 

SC juga baru-baru ini juga telah melancarkan pelan hala tuju lima tahun untuk memangkin akses kepada pembiayaan pasaran modal PKS dan syarikat peringkat pertengahan (MTC).

 

Pelan hala tuju itu bertujuan untuk mengembangkan pasaran modal MSME dan MTC sebanyak tujuh kali ganda, daripada RM6.3 bilion pada 2023 kepada RM40 bilion pada 2028.

 

Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying, dalam ucapannya, berkata kerajaan komited untuk mewujudkan persekitaran di mana PKS boleh berkembang maju dan menyumbang sepenuhnya kepada kemakmuran Malaysia.

 

“Kerajaan mengiktirafkan peranan kritikal yang dimainkan oleh MSME sebagai tulang belakang ekonomi negara, memacu inovasi, penciptaan pekerjaan dan kemajuan sosial," ulas beliau. 

 

Sementara itu, Lim juga berkata kerajaan telah mewujudkan pelbagai geran dan inisiatif untuk membantu PKS mengatasi pelbagai cabaran, termasuk akses kepada kewangan, akses pasaran dan pembangunan bakat.- DagangNews.com