Meta Bright, Prominent Synergy berkerjasama teroka potensi dalam projek kecekapan tenaga | DagangNews Skip to main content

Meta Bright, Prominent Synergy berkerjasama teroka potensi dalam projek kecekapan tenaga

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Meta Bright Group Berhad memeterai kerjasama strategik dengan Prominent Synergy Sdn. Bhd. bagi meneroka potensi dalam projek kecekapan Tenaga (EE) yang akan memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak.

 

Penyedia rumusan tenaga mampan itu berkata, Prominent Synergy akan menyediakan rundingan teknikal dan kepakaran dalam projek EE kerana mereka aktif dalam penyelenggaraan kemudahan, kerja-kerja kejuruteraan awam dan struktur berkaitan kecekapan tenaga.

 

Pengarah Eksekutif Meta Bright, Derek Phang berkata, pihaknya pula akan menyediakan sokongan kewangan dan logistik untuk projek dan inisiatif yang dijalankan, seperti yang diperlukan dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

 

Beliau berkata, Prominent Synergy mempunyai liputan geografi yang lengkap di Pantai Barat Semenanjung Malaysia selain kehadiran dalam sektor penjagaan kesihatan dengan membaik pulih kemudahan pengimejan hospital selain projek penyejukan hotel, pusat membeli-belah serta pusat data.

 

Meta Bright pula katanya, terlibat dengan aktiviti berkaitan hartanah dan tenaga boleh diperbaharui (RE) serta kehadiran yang kukuh di Pantai Timur dan Sabah.

 

"Kerjasama strategik yang dimeterai itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan Meta Bright untuk mengembangkan perniagaan SES (rumusan tenaga mampan) kami dengan cara kurang berisiko tetap pantas.

 

"Kami berhasrat untuk bekerjasama dengan lebih banyak pihak dan kemungkinan meminta mereka menyertai kumpulan ini dengan cara lebih formal selepas tempoh setahun," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Derek berkata, pihaknya juga akan mengkaji semula strategi SES mereka agar selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR). 

 

Katanya, pihaknya sentiasa mencari rakan kongsi yang berfikiran sama dan terbuka kepada sebarang bentuk kerjasama. - DagangNews.com