MFM bakal labur hingga RM135 juta dalam usaha sama dengan Tyson Foods | DagangNews Skip to main content

MFM bakal labur hingga RM135 juta dalam usaha sama dengan Tyson Foods

KUALA LUMPUR 19 Mei - Pembuat makanan asas, Malayan Flour Mills Bhd (MFM) berhasrat untuk melabur sekurang-kurangnya RM135 juta untuk perbelanjaan modal dalam usaha samanya, Dindings Tyson Sdn Bhd (DTSB), tahun ini.

 

DTSB merupakan usaha sama dengan Tyson Foods, di mana MFM memegang 51% pegangan ekuiti.

 

Usaha sama ini beroperasi di bawah segmen penyepaduan ternakan ayam.

 

Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan MFM, Teh Wee Chye berkata MFM yakin dengan prospek segmen penyepaduan ternakan ayam.

 

"Yang penting, segmen itu mengekalkan momentum pengoptimuman volumnya sejajar dengan peningkatan permintaan untuk daging diproses kami daripada pelanggan dalam restoran perkhidmatan pantas dan sektor pembuatan makanan," katanya dalam satu kenyataan semalam, menurut laporan Bernama.

 

Oleh itu, MFM berhasrat untuk melabur dalam segmen itu bersama rakan usaha sama bagi meningkatkan kapasiti kemudahan pemprosesan.

 

"Walaupun segmen perdagangan tepung dan bijian telah terjejas oleh pertembungan faktor yang memberi kesan kepada operasi pengilangan tepung, keuntungan segmen penyepaduan ternakan ayam semakin meningkat.

 

"Dalam persekitaran yang mencabar untuk perniagaan tepung dan bijian, kami akan terus memberi tumpuan memastikan keberkesanan kos operasi pengilangan tepung menerusi pengekstrakan dan teknik pengadunan yang lebih baik,” tambahnya.

 

Beliau mendedahkan bahawa perbelanjaan modal itu akan digunakan untuk menaik taraf kilang pemprosesan ternakan ayam utama syarikat di Sitiawan, Perak.

 

Dengan naik taraf itu, MFM akan meningkatkan kapasiti penyembelihan kilang pemprosesan sebanyak lebih 20% kepada 340,000 ekor sehari daripada 280,000 ekor sehari pada masa ini.

 

Perbelanjaan modal untuk penambahbaikan itu akan dibiayai oleh kedua-dua dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman bank. -DagangNews.com