MFRS 17 tidak beri kesan kepada asas perniagaan Syarikat Takaful | DagangNews Skip to main content

MFRS 17 tidak beri kesan kepada asas perniagaan Syarikat Takaful

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Jun - Kenanga Research menjangkakan piawaian perakaunan baharu untuk kontrak insurans iaitu MFRS 17 bermula 1 Januari 2023 tidak akan memberi kesan kepada asas perniagaan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad.

 

Firma itu berkata, Syarikat Takaful akan menjadi penerima manfaat kesan daripada pemulihan ekonomi dengan pembayaran premium keseluruhan dijangka meningkat dan harus dipacu dengan strategi jualan fizikal yang lebih agresif.

 

"Peningkatan semula tuntutan dijangka berlaku kerana pembukaan semula ekonomi akan membawa kepada lebih banyak insiden.

 

"Nisbah tuntutan sebelum pandemik boleh mencecah antara 40% hingga 50% dan pada ketika ini kami menjangkakan ia akan berada pada paras 36% berbanding 34% semasa tempoh kawalan pergerakan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, MFRS 17 akan menghasilkan pendapatan yang lebih baik berdasarkan tempoh dan perlindungan kontrak insurans.

 

Selaras dengan perubahan dalam pengiktirafan hasil, kumpulan itu menjangkakan keuntungan bersihnya akan berkurangan antara 15% hingga 20% berdasarkan kepada pendapatan tahun semasa.

 

"Bagaimanapun, jumlah kerugian yang direkodkan pada masa akan datang adalah selaras dengan terma perlindungan kontrak," katanya.

 

Firma itu bagaimanapun tidak membuat sebarang perubahan unjuran pendapatan buat masa sekarang sehingga standard baharu itu dilaksanakan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'ouperform' dengan harga sasaran (TP) RM4.25," katanya. - DagangNews.com