MGA anjur Persidangan Emas Malaysia buat kali kedua pada 28 Februari 2024 | DagangNews Skip to main content

MGA anjur Persidangan Emas Malaysia buat kali kedua pada 28 Februari 2024

MGA turut menganjurkan Persidangan Emas Malaysia buat julung kali pada 17 Februari 2023.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 16 Jan - Persatuan Emas Malaysia (MGA) menganjurkan Persidangan Emas Malaysia di ibu negara pada 28 Februari 2024.

 

MGA berkata, pihaknya menjemput peminat emas, peniaga barang kemas, bank dan pelabur untuk mengambil bahagian dalam persidangan emas berkenaan untuk mendapatkan pandangan berharga daripada veteran emas terkenal dari seluruh dunia.

 

Selain itu katanya, ia juga tentang cara menavigasi dengan berkesan cabaran industri dan meneroka potensi besar logam berharga, tempatan dan global.

 

"Dijadualkan pada 28 Februari 2024 dari 9 pagi hingga 4 petang, Persidangan Emas Malaysia 2024 akan diadakan di Hotel JW Marriott, Kuala Lumpur, yang disasarkan untuk menjadi tuan rumah kira-kira 300 perwakilan dari Malaysia dan negara serantau. 

 

"Tiket untuk acara istimewa ini berharga RM2,500 atau AS$500 seorang, termasuk 2 sesi teh/kopi percuma dan jamuan makan tengah hari. Dengan tempat duduk terhad tersedia berdasarkan siapa cepat dia dapat, MGA menggesa pihak yang berminat untuk mendaftar lebih awal," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Presiden MGA, Datuk Louis Ng memberi jaminan kepada perwakilan bahawa Persidangan Emas Malaysia 2024 mencontohi piawaian dan kualiti persidangan emas antarabangsa di seluruh dunia.

 

Beliau berkata, ia juga membantu pemain industri memahami lebih lanjut tentang pasaran emas global dan bagaimana untuk mendalami landskap dinamik pasaran logam berharga Malaysia dengan berkesan, yang mana menjadikan Asia sebagai hab perdagangan emas global bereputasi.

 

 

MGA

 

 

Katanya, persidangan emas adalah tempat perwakilan mengembangkan rangkaian perniagaan mereka di seluruh rantau ini dan mendapatkan maklumat yang bermanfaat untuk maju dan berkembang. 

 

"Dengan ini, saya berharap untuk berkongsi ilmu yang tidak ternilai yang saya perolehi daripada banyak persidangan emas di seluruh dunia, selain pandangan peribadi saya tentang potensi pasaran emas di Malaysia, dengan perwakilan kami di Persidangan Emas Malaysia 2024 akan datang. 

 

"Tujuan utama persidangan emas ini adalah untuk memupuk dan mengembangkan industri perdagangan emas serantau ke tahap yang lebih tinggi," katanya.

Selain Presiden MGA, tokoh terkemuka seperti Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Amanie, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dan Sunil Kashyap dari FinMet Pte Ltd turut hadir sebagai penceramah utama untuk acara tersebut. - DagangNews.com