MGRC, AntChain bekerjasama guna teknologi kebolehkesanan blockchain | DagangNews Skip to main content

MGRC, AntChain bekerjasama guna teknologi kebolehkesanan blockchain

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Nov - Malaysian Genomics Resource Centre Berhad (MGRC) menerusi MGRC Biopharma Sdn. Bhd. akan menggunakan teknologi kebolehkesanan blockchain daripada AntChain Technology Pte Ltd. 

 

Pakar genomik dan farmaseutikal itu berkata, anak syarikatnya akan bekerjasama dengan AntChain, anak syarikat Ant Group Digital Technologies, bagi penggunaan teknologi kebolehkesanan uniknya, bersama kepakaran teknikalnya dalam analisis data dan pengurusan risiko pintar.

 

MGRC Biopharma akan menyepadukan rumusan kebolehkesanan AntChain TaaS yang dimungkinkan melalui perkongsian strategiknya dalam sektor penjagaan kesihatan.

 

Di luar penyepaduan itu, kedua-dua syarikat berminat untuk meneroka spektrum usaha niaga digital yang boleh meningkatkan keberkesanan dan jangkauan tawaran MGRC.

 

Pengerusi Eksekutif MGRC, Azri Azerai berkata, kerjasama dengan Ant Group Digital Technologies adalah lambang komitmen pihaknya terhadap inovasi.

 

azeri
Azri Azerai

 

"Menerusi jalinan kebolehkesanan blockchain dalam rangka kerja pengeluaran kami, kami bukan sahaja meningkatkan keaslian produk tetapi juga mengukuhkan janji kepada pihak berkepentingan.

 

"Kerjasama ini adalah bukti aspirasi kami untuk menggabungkan teknologi terkini dengan kepakaran biofarmaseutikal," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pengurus Besar Perniagaan Antarabangsa, Ant Group Digital Technologies, Derrick Loi berkata, kerjasama dengan MGRC akan membantu mereka mempercepatkan transformasi dan kerjasama digital merentas industri yang berbeza.

 

"Bersama-sama, kami merangka arah tuju yang inovatif dari segi teknologi dan penjagaan kesihatan dengan lancar, menetapkan pentas untuk kemajuan penerokaan dalam sektor ini," katanya. - DagangNews.com