MGRC giat teroka peluang kembangkan perniagaan | DagangNews Skip to main content

MGRC giat teroka peluang kembangkan perniagaan

Pengarah Eksekutif MGRC, Azri Azerai

KUALA LUMPUR 5 Mei - Malaysian Genomics Resource Centre Bhd (MGRC), syarikat genomik dan biofarmaseutikal terkemuka tempatan, sedang giat meneroka peluang mengenai kaedah terbaik dalam mengeluarkan produk dan perkhidmatannya ke pasaran yang lebih luas.

 

Pengarah Eksekutifnya, Azri Azerai berkata, kolaborasi dengan AirAsia membabitkan kerjasama dengan pelbagai pihak, termasuk airasia Super App, Speedoc dan Unique Remedy di mana penyelesaian saringan genetik dan makanan tambahan (Dtect) akan dijual melalui airasia Super App sebagai platform.

 

Katanya, pihaknya sentiasa meneroka peluang untuk jalinan atau kerjasama dengan orang lain dan akan mengumumkannya apabila peluang ini berkembang menjadi sesuatu yang konkrit.

 

"Kerjasama dengan pelbagai pihak ini adalah bukti bagaimana kami boleh menjangkau pasaran yang lebih luas dengan bekerjasama dengan orang lain. Terdapat banyak kemungkinan di luar sana bergantung pada segmen sasaran populasi dan pemeriksaan genetik yang kami tawarkan, termasuk makanan tambahan yang diperibadikan.

 

"Kerjasama ini akan menjadi permulaan kepada siri produk dan perkhidmatan menarik yang kami tawarkan untuk mengembangkan rangkaian penyelesaian berkaitan penjagaan kesihatan Malaysian Genomics yang memenuhi keperluan dan kumpulan yang berbeza.

 

"Ini lebih-lebih lagi apabila orang ramai semakin sedar mengenai kesihatan mereka dan mahu mengetahui lebih lanjut serta mengambil tindakan bagaimana mereka boleh memperbaiki atau meningkatkan kesihatan mereka," katanya kepada BH dalam satu temu bual baru-baru ini.


MGRC baru-baru ini beserta tiga rakan kongsinya mengumumkan pelancaran penyelesaian saringan genetik dan makanan tambahan tersendiri di platform digital pengembaraan dan gaya hidup utama di rantau ini, kepada 51 juta pengguna Airasia Super App.

 

Dua syarikat lain yang turut serta menawarkan perkhidmatan Super App ini ialah Speedoc, sebuah platform klinik maya dan penyelesaian penjagaan kesihatan yang akan menyediakan nasihat bagi keputusan ujian oleh doktor mereka dan Unique Remedy, iaitu pakar farmasi yang akan menyediakan makanan tambahan kesihatan tersendiri.

 

Selain itu, MGRC pada awal bulan ini mengumumkan yang ia telah mendapat kontrak pengawasan COVID-19 daripada Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), unit penyelidikan bioperubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

 

Pakar genomik dan biofarmaseutikal itu adalah satu daripada makmal swasta yang dihubungi oleh IMR untuk menyumber luar pengawasan genom SARS-CoV-2.

 

Mengulas lanjut mengenai perkara itu Azri berkata, syarikat itu dipilih berdasarkan kepakaran dan pengetahuan mereka dalam genomik dan bioinformatik.

 

"Oleh kerana Malaysian Genomics ialah pakar genomik dan biofarmaseutikal, skop kontrak ini terletak di bawah perniagaan dan fungsi kami.

 

"Kami mempunyai kemudahan dan kepakaran untuk membantu IMR menjejaki dan mengesan virus untuk sebarang varian kebimbangan yang perlu dimaklumkan kepada kerajaan serta bersedia untuk menghadapinya," katanya. - DagangNews.com