MHplus Malaysia Airlines tersedia di 6 negara bermula 23 Januari 2024 | DagangNews Skip to main content

MHplus Malaysia Airlines tersedia di 6 negara bermula 23 Januari 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Jan - Malaysia Airlines mengumumkan platform keupayaan pengedaran baharu (NDC), MHplus akan tersedia di enam negara termasuk Malaysia, Indonesia, India, Australia, Singapura dan United Kingdom (UK) bermula 23 Januari 2024.

 

NDC merupakan program industri pelancongan yang disokong oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa yang membolehkan syarikat penerbangan memodenkan cara produk dijual kepada ejen pelancongan dengan perkhidmatan terpilih selain penawaran produk yang lebih baik serta meningkatkan pengalaman pelanggan secara keseluruhan.

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, sebahagian besar kandungan sedia ada akan disediakan secara eksklusif kepada ejen pelancongan dan Perbadanan Pengurusan Perjalanan (TMC) yang menggunakan MHplus bagi memastikan memastikan proses penghantaran yang diperkemas merentas rantaian pengedaran industri pelancongan.

 

Katanya, ejen yang mendaftar dengan MHplus akan menikmati faedah termasuk akses kepada semua kandungan pengedaran, tawaran seperti elaun bagasi percuma 10kg 'Lite Fare' bersama syarikat penerbangan itu, tambang lengkap, komisen yang layak untuk produk sampingan dan banyak lagi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Aviation Group (MAG), Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata, sejak penubuhan MHplus, rakan kongsi perintis mereka telah menikmati akses tanpa had kepada semua kandungan saluran pengedaran yang tersedia melalui saluran peruncitan moden yang tersedia di platform itu.

 

"Ini bukan sahaja memperkasakan mereka dengan tawaran yang diperibadikan dan khusus tetapi juga memastikan pengalaman tempahan yang lancar untuk semua yang terlibat.

 

"Kami teruja untuk meluaskan jangkauan dan keupayaan MHplus, memastikan peluang yang sama kepada rakan kongsi kami yang dihargai di seluruh pasaran utama," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. - DagangNews.com