Micron komited tambah pelaburan di Malaysia tingkatkan rantaian nilai semikonduktor - PM | DagangNews Skip to main content

Micron komited tambah pelaburan di Malaysia tingkatkan rantaian nilai semikonduktor - PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan) menerima kunjungan delegasi Micron, yang diketuai Naib Presiden Eksekutif Operasi Globalnya, Manish Bhatia di Putrajaya.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob optimis lebih banyak syarikat asing akan terus melabur di Malaysia kerana iklim pelaburan yang masih dianggap antara terbaik di rantau ini.

 

Menerusi hantaran di Facebooknya malam tadi berkata, beliau bersyukur pelabur-pelabur asing semakin tertarik untuk terus melabur di negara ini.

 

“Alhamdulillah, pelabur-pelabur asing semakin yakin untuk terus melabur di Malaysia.

 

“Saya yakin lebih banyak syarikat asing akan terus menanam modal di Malaysia kerana iklim pelaburan yang masih dianggap antara terbaik di rantau ini,” katanya.

 

Terdahulu, beliau turut mengadakan perbincangan bagi meneroka potensi syarikat Micron menambah lagi pelaburan di Malaysia khususnya untuk segmen yang lebih maju dalam rantaian nilai semikonduktor.

 

Perbincangan itu dibuat ketika kunjungan delegasi Micron, yang diketuai Naib Presiden Eksekutif Operasi Globalnya, Manish Bhatia di Putrajaya susulan lawatan kerja Ismail Sabri ke Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

 

Perdana Menteri berkata, Micron kini beroperasi di Malaysia dengan menggaji hampir 4,000 anak tempatan. 

 

Dalam lawatan kerja beliau ke AS sebelum ini, Ismail Sabri bertemu pegawai-pegawai kanan syarikat utama Amerika termasuk Microsoft, Google, Tesla, Boeing, IBM, Texas Instruments, GE Aviation, Conoco Phillips, Ford, National Instruments, Infineon, Micron dan Insule. - DagangNews.com