Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 2 April - Microsoft Corp. membantu lebih 30 juta orang di 249 negara dan wilayah untuk menimba kemahiran digital sekali gus mengatasi sasaran awal iaitu 25 juta pada bulan Jun lepas.
Menariknya, seramai 110,000 daripada jumlah tersebut adalah dari Malaysia.
Microsoft Corp. juga melanjutkan komitmen untuk membantu 250,000 syarikat di peringkat global untuk mendapatkan pekerja berasaskan kemahiran pada 2021.
Presiden Microsoft Asia, Ahmed Mazhari berkata, berjuta-juta orang termasuk graduan baharu yang menceburi pasaran kerjaya, individu yang diberhentikan kerja dan individu yang mencari peluang baharu dalam ekonomi digital, telah mengikuti kursus pembelajaran dalam talian daripada GitHub, LinkedIn dan Microsoft semasa pandemik.
Ia bertujuan untuk membantu mempersiapkan diri dan mendapatkan kerja dengan permintaan paling tinggi termasuk dalam bidang perkhidmatan pelanggan, pengurusan projek dan analisis data.
“Kemahiran bakal menjadi faktor penentu baharu dalam dunia pasca pandemik. Sepanjang tempoh setahun lepas, kami telah melihat pandemik ini menjejaskan kehidupan ramai orang dari serata dunia, termasuk mereka yang paling tidak mampu menanggung bebannya.
“Dalam usaha kita membina semula kekuatan selepas pandemik, usaha menimba kemahiran baharu perlu diberikan tumpuan dalam penjajaran baharu ekonomi.
"Dengan kerjasama LinkedIn, kami menggandakan usaha untuk mentafsirkan semula kerjaya di rantau ini dengan menyokong pembangunan pasaran tenaga kerja berasaskan kemahiran yang lebih terangkum, lantas menambah pilihan, meningkatkan fleksibiliti dan kaedah pembelajaran yang boleh dimanfaatkan untuk mendekatkan lagi pekerja dengan peluang kerjaya baharu," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau lagi, LinkedIn bercadang untuk membantu 250,000 syarikat di peringkat global melaksanakan pengambilan pekerja berasaskan kemahiran tahun ini menerusi produk pengambilan pekerja baharu dan sedia ada.
Ujarnya, syarikat tersebut akan menyediakan cara baharu untuk pencari kerja menunjukkan kemahiran dan juga alat baharu bagi majikan untuk meninjau calon berasaskan tahap kemahiran termasuk;
Program Perintis bagi LinkedIn Skills Path
- Cara baharu untuk membantu syarikat-syarikat mengambil pekerja berasaskan kemahiran.
- Skills Path menggabungkan kursus LinkedIn Learning dengan Penilaian Kemahiran untuk membantu petugas pengambilan pekerja mendapatkan calon dengan cara yang lebih saksama — berasaskan kemahiran terbukti masing-masing.
- LinkedIn sedang merintis penggunaan Skills Path bersama beberapa syarikat, termasuk BlackRock, Gap Inc. dan TaskRabbit, dan komited untuk meluaskan amalan pengambilan pekerja untuk melibatkan calon dengan pengalaman yang pelbagai.
Ciri-ciri profil Linkedin yang lebih menyerlah dan tersendiri.
- Membantu orang ramai berkongsi maklumat tentang diri mereka, serta kerjaya dan matlamat mereka dengan cara yang lebih sahih dan menarik.
- Ini termasuk video Paparan Utama yang membolehkan pencari kerja menampilkan kemahiran insaniah mereka kepada petugas dan pengurus pengambilan pekerja.
- Sebanyak 75% daripada pengurus pengambilan pekerja menganggap resume biasa tidak memadai untuk menilai kemahiran insaniah calon, dan hampir 80% berpendapat video kini lebih penting apabila menilai calon.
Capaian Diperluas kepada Graf Kemahiran LinkedIn.
- Membantu mewujudkan ukuran kemahiran umum bagi individu, majikan, institusi pendidikan dan agensi kerajaan untuk membantu menambah baik perancangan, pengambilan dan program pembangunan tenaga kerja.
Sementara itu, Pengarah Urusan & Naib Presiden, Asia Pasifik & China di LinkedIn, Olivier Legrand memberitahu, pengambilan pekerja berasaskan kemahiran kini dilihat semakin penting dalam dunia kerjaya masa kini.
"Kami mendapati insan dari seluruh dunia menyuarakan keinginan mereka untuk menimba ilmu dan membina kemahiran. Malah organisasi juga mengambil pekerja berasaskan kemahiran dan bukannya kemahiran tradisional.
"LinkedIn, bersama dengan Microsoft, komited untuk membantu semua individu berhijrah kepada ekonomi berasaskan kemahiran.
"Pada 2021, kami akan meneruskan usaha kami untuk melengkapkan pencari kerja dengan sumber yang sewajarnya untuk menimba kemahiran baharu, dan menghubungkan mereka kepada peluang yang ada, dan juga berusaha membantu 250,000 organisasi membuat pengambilan pekerja berasaskan kemahiran," ujar beliau. - DagangNews.com