Microsoft Surface Pro X baharu kini di pasaran Malaysia | DagangNews Skip to main content

Microsoft Surface Pro X baharu kini di pasaran Malaysia

KUALA LUMPUR 13 Okt. – Microsoft hari ini mengumumkan Surface Pro X yang telah dikemaskinikan sudah boleh didapati di Malaysia menerusi wakil penjual sah komersial dan peruncit sah pada harga bermula daripada RM6,999.

 

Edisi terkini Surface Pro X menawarkan konfigurasi baharu yang termasuk pemproses tersesuai generasi akan datang Microsoft dan kemasan Platinum baharu, selain pengalaman aplikasi baharu, yang menambah hayat bateri dan meningkatkan prestasi bagi semua peranti Surface Pro X.

 

“Kami memperkenalkan Surface Pro X pada bulan Oktober lepas, untuk menguji batasan prestasi sebuah peranti 2:1 yang sentiasa terhubung, sangat ringan dan amat nipis,” kata Michal Golebiewski, Pegawai Pemasaran & Operasi Microsoft Malaysia. “Pada tahun ini, kami membawakan kemas kini terbaharu kepada Surface Pro X di Malaysia. Ini termasuk pengalaman aplikasi baharu, prestasi lebih tinggi dan kemasan platinum baharu, sekali gus menjanjikan pengalaman luar biasa bagi mereka yang perlu kekal terhubung, produktif dan kreatif pada bila-bila masa.”  

 

Bagi pelanggan yang mahukan lebih kuasa, Microsoft telah menambah baik SKU Surface Pro X utama dengan memperkenalkan pemproses Microsoft SQ® 2 serba baharu – pemproses paling canggih dalam kelasnya – dan kemasan Platinum baharu.

 

surface

Surface Pro X menjanjikan pengalaman berasaskan web terbaik bagi Microsoft 365, Microsoft Edge, Netflix, Spotify dan banyak lagi, sambil menyokong beribu-ribu aplikasi Windows seperti Google Chrome, Firefox, dan Whatsapp. Kini momentum rakan-rakan aplikasi utama mengguna pakai Windows berlandaskan ARM semakin ketara, dengan mengambil kesempatan daripada kuasa dan prestasi Microsoft SQ®1 dan SQ®2 untuk membawakan pengalaman serba baharu kepada semua pelanggan Surface Pro X.

 

Microsoft Edge dan Microsoft Teams kini juga dirangka supaya lebih pantas sambil menggunakan kuasa bateri lebih rendah dengan versi baharu dioptimumkan untuk Windows berlandaskan ARM, dengan rancangan untuk melanjutkan sokongan bagi pengendalian aplikasi x64.  Bagi syarikat pembangun perisian, kod Visual Studio juga telah dikemaskinikan dan dioptimumkan untuk Windows berlandaskan ARM. Hasilnya ialah prestasi keseluruhan lebih pantas dan hayat bateri lebih panjang dengan Surface Pro X kini mempunyai hayat bateri sehingga 15 jam bagi kedua-dua konfigurasi.

 

Surface Pro X ialah peranti 2 dalam 1 yang paling nipis dan terhubung. Capaian kepada lebar jalur yang pantas dan boleh dipercayai untuk menyokong pembelajaran dan pekerjaan jarak jauh bagi berbilang pengguna dalam satu isi rumah menjadi cabaran yang dihadapi ramai orang. Dengan daya sambungan ultra pantas Gigabit LTE, pengguna Surface Pro X sentiasa akan mempunyai sambungan terus atas permintaan.

 

Surface Pro X baharu boleh didapati mulai 13 Oktober 2020 menerusi wakil penjual sah komersial seperti SoftwareONE and Prestariang Systems Sdn Bhd, dan juga peruncit sah seperti All IT, Gloo by SNS, Harvey Norman, Lazada-Microsoft flagship store, PC Image, Senheng, Shopee-Microsoft flagship store dan TMT by Thundermatch.

surface

Peranti Surface untuk Perniagaan menyediakan pengalaman dan ciri khusus yang dibina khusus untuk pelanggan komersial, termasuk keselamatan taraf perusahaan dan pengurusan moden terutamanya dengan Autopilot, Surface Enterprise Management Mode (SEMM) dan Microsoft Intune.

 

Sistem Windows 10 Pro disediakan sebagai standard bagi peranti Surface untuk Perniagaan, menawarkan ciri-ciri keselamatan sedia terbina dan pengurusan yang membolehkan pelanggan kami memberi tumpuan menguruskan perniagaan masing-masing. Di samping jaminan perkakasa) standard, Surface untuk perniagaan diberi jaminan Tukaran Lanjutan percuma – satu jaminan yang menyediakan khidmat penggantian peranti dipercepatkan, tanpa sebarang kos. - DagangNews.com