Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 29 Jan. - Di sebalik laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) awal minggu ini, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah mengenalpasti 240 projek berprofail tinggi dalam pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah RM81.9 bilion.
Projek ini melibatkan sektor pembuatan dan perkhidmatan yang sedang dalam proses rundingan dan menjadi sasaran pelaburan negara pada tahun ini.
Ketika ini, jelas MIDA, pihaknya sudah menerima dan menilai potensi pelaburan ke dalam negara berjumlah RM47.7 bilion.
"Kesemua projek ini, apabila diluluskan, dijangka dilaksanakan sekiatar 2021 hingga 2022.
"Sehubungan itu, kami menjangkakan pelaburan asing ke Malaysia dijangka dapat dikekalkan pada tahap sebelum pandemik COVID-19," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menerusi laporan UNCTAD mengenai Trend Pembangunan Pelaburan Global, ia menganggarkan aliran FDI jatuh 42% kepada AS$859 bilion pada 2020 berbanding AS$1.9 trilion tahun sebelumnya.
Berdasarkan laporan itu, hampir kesemua rantau melaporkan FDI yang rendah tahun lalu terutama disebabkan penguatkuasaan sekatan dan kemerosotan aktiviti ekonomi ketika pandemik COVID-19.
Aliran FDI ke negara-negara membangun turut menyusut sehingga 12%.
Malaysia pula merekodkan penurunan FDI paling tinggi iaitu 68% diikuti Thailand (50%), Singapura (37%), Indonesia (24%) dan Vietnam (10%).
Menjelaskan situasi ini, MIDA berkata, kerajaan mengakui landskap FDI telah dan akan kekal mencabar dan mempunyai daya saing yang tinggi.
"Oleh itu, mempercepatkan pelaburan menjadi keutamaan dalam menjamin pemulihan pertumbuhan ekonomi. Sejak akhir-akhir ini, usaha telah digerakkan bagi menarik dan mempermudah pelaburan berkualiti," katanya.
Menurut agensi itu, pelaburan di Malaysia kekal sihat dengan merekodkan RM109.8 bilion pelaburan diluluskan bagi tempoh 9 bulan pertama 2020 melibatkan sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama.
Pelaburan tersebut melibatkan 2,935 projek dan akan mewujudkan 64,701 peluang pekerjaan, katanya.
"FDI merangkumi hampir 40% iaitu RM42.6 bilion. Pelaburan yang direalisasikan dalam tempoh ini akan menyediakan sokongan kepada pertumbuhan ekonomi pada tahun ini akan datang," jelas MIDA.
Bagi tempoh itu, sektor pembuatan menarik pelaburan diluluskan merangkumi 59.5% iaitu RM65.3 bilion diikuti perkhidmatan (39% atau RM42.8 bilion) dan sektor utama (1.5% atau RM1.7 bilion).
Pelaburan diluluskan bagi sektor pembuatan untuk tempoh Januari hingga September 2020 turut menyaksikan peningkatan 16.6% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
"FDI dalam sektor ini juga menyaksikan peningkatan 3.2% kepada RM39.4 bilion," katanya.
Kedudukan Malaysia yang strategik turut menarik beberapa syarikat multinasional berteknologi tinggi untuk beroperasi di negara ini.
Antaranya, Schmidt and Nephew dari United Kingdom yang mengeluarkan produk perubahan berteknologi tinggi; Dexcom dari Amerika Syarikat, peneraju sistem pemantauan glukosa dan LEM, syarikat yang berpangkalan di Switzerland akan membuka kilang pengeluaran baharu di Malaysia bagi memenuhi permintaan yang meningkat dalam sektor automatif dan perindustrian.
MIDA optimis kedudukan Malaysia dalam lingkungan Asia Pasifik dan pintu gerbang kepada ASEAN akan menjadi destinasi pelaburan yang menarik.
"Kemudahan infrastruktur yang lengkap, perkhidmatan telekomunikasi, kewangan dan perbankan, industri sokongan serta kepelbagaian bakat dan kemahiran menjadi antara faktor yang akan menarik pelabur," katanya. - DagangNews.com