MIDA sedang kenal pasti 23 projek bernilai RM75.4 bilion - MITI | DagangNews Skip to main content

MIDA sedang kenal pasti 23 projek bernilai RM75.4 bilion - MITI

 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Sebanyak RM10.9 bilion pelaburan telah diluluskan bagi tempoh Januari hingga September tahun ini dengan sektor perkilangan merupakan penyumbang terbesar sebanyak RM65.3 bilion. 

 

Sektor perkhidmatan pula sebanyak RM42.8 bilion dan sektor utama, RM1.7 bilion.

 

Daripada jumlah tersebut, pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang sebanyak 38.8% yang bernilai RM42.6 bilion dan selebihnya, RM67.2 bilion (61.2%) adalah pelaburan tempatan. 

 

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong berkata, pelaburan yang diluluskan dalam tempoh itu melibatkan 2,935 projek dan dijangka mewujudkan 64,701 peluang pekerjaan.

 

Katanya, setakat 31 Oktober 2020 pula, kerajaan melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sedang menilai 786 projek pelaburan dengan nilai RM35.8 bilion dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan.

 

Penilaian itu dibuat sebelum ia dibawa ke Jawatankuasa Nasional Mengenai Pelaburan (NCI) untuk kelulusan. 

 

MIDA juga telah mengenal pasti 23 projek berprofail tinggi yang berpotensi dengan nilai pelaburan sebanyak RM75.4 bilion.

 

"Ini melibatkan sektor perkilangan dan perkhidmatan, daripada pelabur-pelabur asing pelbagai negara yang disasarkan untuk dibawa masuk ke Malaysia pada 2021. 

 

"Sehubungan itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui MIDA akan terus berusaha
membawa masuk kadar pelaburan yang tinggi sepertimana tahun-tahun sebelum ini," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini. 

 

Ban Hong berkata, dalam usaha menarik lebih banyak pelabur asing untuk terus melabur di Malaysia, kementerian sentiasa mengambil langkah-langkah proaktif dari semasa ke semasa dengan melaksanakan pelbagai inisiatif. 

 

Antara inisiatif bagi menggalakkan FDI termasuklah menawarkan pakej pengecualian cukai istimewa bagi menggalakkan syarikat asing memindahkan operasinya ke Malaysia atau menubuhkan operasi baharu dan menjadikan Malaysia sebagai pusat rangkaian bekalan antarabangsa. 

 

Katanya, kerajaan juga menyediakan Reinvestment Allowance (RA) tambahan sebanyak 60% untuk syarikat sedia ada dalam sektor perkilangan dan pertanian terpilih. 

 

"Ini juga termasuklah menjalankan pelaburan semula bagi tujuan pengembangan, automasi, modenisasi dan kepelbagaian dalam tahun penilaian 2020 hingga 2022, di mana RA dan Insentif RA Khas telah tamat tempohnya," jelasnya. 

 

Bagi meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan, beliau berkata, proses kelulusan Lesen Pengilangan secara fast track melalui platform digital e-ML untuk industri yang tidak sensitif hanya mengambil masa 2 hari bekerja. 

 

Selain itu, katanya, kerajaan juga menubuhkan Project Acceleration and Coordination Unit (PACU) di MIDA untuk mempercepatkan kelulusan pelbagai agensi dan peringkat bagi mempercepatkan pelaksanaan projek pelaburan. 

 

"Permohonan untuk mendapatkan insentif cukai melalui platform digital e-incentive untuk syarikat berskala kecil
yang digalakkan di bawah Akta Penggalakan Pelaburan 1986 turut dilaksanakan. 

 

"Kerajaan juga menubuhkan Pusat Sehenti untuk menilai dan meluluskan permohonan Business Travellers yang layak untuk memasuki Malaysia bagi tujuan perdagangan dan pelaburan," katanya. - DagangNews.com