Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 11 Mac. - Unit penyelesaian perniagaan dan sektor awam Telekom Malaysia Berhad (TM), TM ONE berjaya melaksanakan perkhidmatan akses jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) di 33 kawasan perindustrian di wilayah Utara, Selatan dan Timur, termasuk Sabah dan Sarawak pada Februari 2021.
Pelaksanaan tersebut adalah untuk menyokong Industry4WRD yang merupakan sebuah Dasar Negara Mengenai Industri 4.0 yang dilancarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Industry4WRD direka untuk mengubah industri pembuatan dan perkhidmatan Malaysia yang berkaitan agar lebih pintar, lebih sistematik dan berdaya tahan.
Pelaksanaan tersebut menyusul selepas perjanjian menandatangani Surat Setuju Terima (LOA) pada bulan Julai 2020 bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebagai agensi pelaksana dana Industri4WRD.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk 'Azman Mahmud berkata, interaksi dan kerjasama proaktif itu membuktikan komitmen bersama pihaknya untuk memastikan sambungan bagi pelaksanaan Industri4WRD yang lancar dan stabil oleh para pelabur.
"Komitmen HSBB ini sangat penting untuk memajukan tahap keserasian digital, dalam memperkukuhkan ekonomi Malaysia di waktu pandemik dan seterusnya.
“Betapa pentingnya sambungan internet berkelajuan tinggi bagi mendukung penerimaan IR4.0 oleh perniagaan-perniagaan di Malaysia telah mendorong MITI mengusulkan agar MIDA memperoleh dana khusus di bawah agenda Industry4WRD, ke arah pelaksanaan HSBB di kawasan-kawasan industri yang dikenal pasti di seluruh Malaysia.
"Kerajaan telah membuat peruntukan itu di bawah Dana Pembangunan kepada MIDA, berjumlah RM19 juta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Perjanjian bersama MIDA sebagai agensi pelaksana dana Industri4WRD itu adalah untuk pemasangan infrastruktur rangkaian internet berkelajuan tinggi baharu untuk meningkatkan dan menjamin kesalinghubungan data selain mempercepat penerimaan Industry4WRD dalam kalangan pemain industri dan perniagaan.
Pelaksanaan tersebut telah disiapkan lebih awal daripada jadual berbanding perancangan asalnya pada Jun 2021.
Ia difokuskan kepada usaha menangani dan menyelesaikan kesesakan sambungan utama secara sistematik di lokasi-lokasi utama.
Sementara itu, Naib Presiden Jualan TM ONE, Mohd Roslan Mohd Rashidi memberitahu, pihaknya berbesar hati dapat mengumumkan kejayaan lebih awal pelaksanaan HSBB daripada sasaran walaupun berdepan keadaan COVID-19.
Tambah beliau, kerjasama dengan MIDA itu membolehkan pihaknya meningkatkan momentum ke arah memberikan akses HSBB yang efisien, meluas dan mampu milik di seluruh negara.
"Di tengah pandemik ini, industri dan perniagaan harus memanfaatkan dan mengikuti tren transformasi digital terkini agar tetap relevan di era digital ini.
"Mereka kini amat bergantung kepada sambungan Internet dan teknologi terkini untuk menjadi lebih produktif, cekap dan berdaya saing di samping membolehkan tahap automasi lebih tinggi dan pandangan yang lebih luas melalui analisis data raya (big data analytics).
"Kami juga menyaksikan perubahan cara teknologi maklumat digunakan melalui pengkomputeran awan, integrasi sistem dan Internet Kebendaan (IoT). Industri juga meningkatkan keupayaan modal insan melalui kecerdasan buatan (AI) dan robot autonomi," tambah beliau. - DagangNews.com