MIDF buat simulasi struktur cadangan integrasi Ranhill-Indah Water Konsortium | DagangNews Skip to main content

MIDF buat simulasi struktur cadangan integrasi Ranhill-Indah Water Konsortium

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Dis. - Syarikat sektor persekitaran dan tenaga, Ranhill Utilities Berhad (Ranhill) hanya ‘selangkah’ lagi ke arah integrasi pembetungan air. 

 

Ini susulan Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.) meminta Ranhill untuk mengambil usaha wajar ke atas cadangan pelupusan ekuiti entiti itu di dalam Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK). 

 

Sehubungan itu, MIDF Research membayangkan cadangan itu mungkin akan meniru struktur aset industri perkhidmatan air di negara ini. 

 

Ini bermaksud, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) mungkin mengambil alih aset pembentungan IWK, manakala pengendali - dalam konteks ini adalah Ranhill, akan menyewakan aset-aset itu. 

 

Ranhill sekali gus bakal memperoleh margin keuntungan yang terkawal berbanding kutipan hasil, secara asasnya menggunakan model kos tokok (cost-plus) buat pengendali, kata MIDF. 

 

“Kedua-dua IWK dan PAAB ketika ini 100% dimiliki oleh Kementerian Kewangan. Beberapa kajian semula tarif mungkin dicadangkan memandangkan kadar pembetungan kekal tidak berubah sejak 1997. 

 

“Walaupun ia masih awal, namun ini merupakan perkembangan positif buat Ranhill dalam usahanya untuk mengembangkan operasi pembetungan, di mana merupakan perluasan semula jadi buat perniagaan bekalan air sedia ada,” kata MIDF dalam nota kajiannya. 

 

Pada 26 Jun lalu, Ranhill telah menghantar cadangan penstrukturan semula di IWK dan salah satu caranya adalah menerusi pelepasan kepentingan oleh MOF Inc. 

 

MIDF mengekalkan saranan ‘beli’ saham Ranhill dengan harga sasaran (TP) tidak berubah kepada RM1.25.

 

Untuk rekod, IWK mengendalikan dan menyelenggara majoriti aset dan perkhidmatan pembetungan di Semenanjung Malaysia di bawah pemusatan dan penswastaan perkhidmatan pembetungan negara pada 1993. 

 

IWK ada asalnya diberikan 28 tahun tempoh konsesi pada 1994 untuk penyediaan perkhidmatan pembetungan di Malaysia, namun telah diambil alih oleh Kementerian Kewangan pada 2000. 

 

Pengambilalihan itu melibatkan nilai RM193 juta berbentuk ekuiti disebabkan keadaan kewangan IWK yang teruk ketika itu. 

 

Berdasarkan laporan Ketua Audit pada 2011, IWK mempunyai kerugian terkumpul sebanyak RM888 juta sehingga penghujung 2010. 

 

Pada tahun 2016, industri pembetungan dilaporkan rugi RM330 juta yang terutamanya disebabkan oleh kadar sangat rendah, di mana tidak berubah lebih dua dekad dan juga kutipan lemah. 

 

Menurut MIDF, kerajaan dilaporkan menyuntik RM150 juta hingga RM200 juta setiap tahun ke dalam operasi IWK. - DagangNews.com