MIDF, GreenPacket meterai MoU percepat ekosistem digital PKS | DagangNews Skip to main content

MIDF, GreenPacket meterai MoU percepat ekosistem digital PKS

MIDF, GreenPacket

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 8 Julai - Malaysian Industrial Development Berhad (MIDF) memeterai perjanjian perkongsian bersama penyedia penyelesaian teknologi, Green Packet Berhad (Green Packet) untuk menyediakan penyelesaian pembiayaan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang ingin mendigitalkan perniagaan.

 

Melalui MoU tersebut, MIDF menyediakan khidmat nasihat pembiayaan dan kemudahan pembiayaan kepada pelanggan Green Packet yang sedia ada dan berpotensi dengan tujuan melancarkan transformasi digital dengan lebih pantas.

 

MoU berkenaan ditandatangani Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Datuk Charon Wardini Mokhzani dan Pengarah Urusan Kumpulan Green Packet, CC Puan yang dijalankan secara maya hari ini.

 

Majlis berkenaan turut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Senator Datuk Lim Ban Hong.

 

Dalam ucapannya, Lim Ban Hong menggesa syarikat berinovatif yang maju serta penyedia perkhidmatan yang berpengetahuan dan mempunyai kepakaran teknologi seperti Green Packet untuk melangkah ke hadapan bagi membincangkan potensi perkongsian dan kolaborasi dengan MIDF untuk merealisasi visi Industry4WRD dengan lebih pantas.

 

Sementara itu, Pengerusi MIDF, Tan Sri Abdul Rahman Mamat berkata, MoU berkenaan adalah adalah tepat pada waktunya kerana pandemik telah memberi tekanan pada perusahaan, terutama PKS yang terpaksa menilai kembali model perniagaan dan mencari peluang serta cara baharu untuk menjalankan perniagaan.

 

"Sangat penting untuk kita menjalinkan kerjasama seperti ini untuk membantu merancakkan semula pertumbuhan ekonomi negara dan melindungi reformasi struktur ekonomi, terutama dalam penyediaan proses digitalisasi dalam kalangan PKS, membantu mereka beralih pada penggunaan teknologi digital dan mengembangkan bakat yang memenuhi permintaan pasaran tenaga kerja dalam masa terdekat," jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

.

 

MIDF komited membantu PKS mengembangkan perniagaan melalui pelbagai skim pembiayaan mudah termasuk Skim Pinjaman Mudah Bagi Digital & Teknologi (SFDT).

 

Di bawah SFDT, ciri-ciri pembiayaan yang boleh dimanfaatkan pelanggan merangkumi pembiayaan sehingga 90% atau sehingga RM1 juta, tempoh pembayaran sehingga lima tahun  dan kadar faedah serendah 3% setahun pada tahunan baki pinjaman.

 

Mengulas lanjut berkaitan kerjasama tersebut, CC Puan memberitahu, kerjasama berkenaan mencerminkan komitmen Green Packet dalam menyokong PKS dengan penawaran penyelesaian perniagaan yang dapat membantu golongan berkenaan beralih ke perniagaan tanpa kontak dan cashless i. 

 

"Gabungan penyelesaian dengan MIDF akan memberi jalan dan peluang kepada komuniti perniagaan tempatan untuk terus berinovasi dan mendigitalkan perniagaan mereka, memberi nilai kepada pelanggan dan memastikan kelangsungan perniagaan," tambahnya. - DagangNews.com