KUALA LUMPUR 18 Julai - MIDF Research menjangkakan kerja-kerja pengubahsuaian Stadium Shah Alam akan membantu meningkatkan pegangan tunai dan bank tanah Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) yang ketika memiliki keluasan 407.85 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM33.35 bilion.
Firma itu berkata, projek itu adalah bersesuaian dengan kumpulan itu selepas pernah terlibat dengan usaha membangunkan semula Stadium Nasional Bukit Jalil pada Oktober 2015.
Menerusi projek itu katanya, Kerajaan Selangor akan membiayai projek itu dengan pemberian tiga bidang tanah berkeluasan 37.43 hektar.
"Matlamat utama MRCB pada tahun ini adalah untuk meningkatkan pegangan tunai mereka.
"Bagaimanapun, kami menjangkakan tanah yang akan diberikan itu terletak di dalam kawasan Shah Alam dan ia sesuai untuk pembangunan masa hadapan kumpulan itu," katanya dalam satu nota kajian hari ini.
Terdahulu MRCB telah menerima Surai Niat (LoI) daripada Kerajaan Selangor untuk projek berkenaan pada 15 Julai 2022.
Sejumlah 15 syarikat lain yang mengambil bahagian dalam proses pemilihan yang ketat untuk projek pembangunan perkongsian awam-swasta.
Difahamkan, MRCB akan berbincang secara terperinci bersama Kerajaan Selangor mengenai perincian projek yang bernilai RM787 juta yang dijangka siap sepenuhnya 2026.
Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 44 sen.
Kedudukan tunai yang lebih kukuh membolehkannya melaksanakan projek infrastruktur awam pada masa hadapan yang mungkin dibiayai sendiri atau memerlukan pembiayaan pendahuluan. - DagangNews.com