MIDF kekal berhati-hati terhadap prospek sarung tangan pada 2024 | DagangNews Skip to main content

MIDF kekal berhati-hati terhadap prospek sarung tangan pada 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Okt - MIDF Research kekal berhati-hati terhadap prospek sektor sarung tangan pada 2024 dengan jangkaan pemulihan permintaan secara beransur-ansur.

 

Firma penyelidikan itu jangkaan itu berikutan kehabisan stok atau tamat tempoh inventori yang dibeli semasa musim COVID-19.

 

Bagaimanapun, mereka kekal berhati-hati terhadap keupayaan pembuat sarung tangan tempatan bagi mendapatkan tempahan daripada pembuat sarung tangan China, memandangkan strategi harga agresif pengeluar negara itu.

 

"Kami juga menjangkakan aliran menaik dalam tarif gas asli dan kos bahan mentah untuk sarung tangan nitril pada tahun 2024, didorong oleh kenaikan harga minyak mentah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

MIDF Research mendapati bahawa beberapa pengeluar sarung tangan tempatan cuba meningkatkan purata harga jualan (ASP) bagi menampung kosnya, tetapi ia tidak berjaya kerana menyebabkan penurunan ketara dalam jumlah jualan.

 

Katanya, penurunan jumlah jualan itu terbukti dalam kadar penggunaan, dengan pembuat sarung tangan China mencapai kadar lebih daripada 90%, manakala purata industri di Malaysia kekal di bawah 40%.

 

Bagaimanapun, saingan sengit pembuat sarung tangan China dengan ASP yang jauh lebih rendah untuk mendapatkan bahagian pasaran, akan terus memberi tekanan kepada pemain tempatan untuk mempertimbangkan dengan teliti untuk menurunkan kos.

 

"Kami menjangkakan tarif gas asli yang lebih rendah untuk suku keempat tahun ini dan ia boleh sedikit kelegaan dalam kos pengeluaran.

 

"Oleh itu, kami melihat bahawa pemain tempatan harus mengutamakan kecekapan kos berbanding meningkatkan ASP untuk merapatkan jurang harga dengan pembuat sarung tangan China dan mendapatkan pesanan daripada pelanggan," katanya.

 

Firma penyelidikan itu kekal berpandangan negatif terhadap sektor itu bagi jangka masa pendek. - DagangNews.com