Presto Technology terima kontrak RM10 juta daripada GGAF bantu inisiatif pengumpulan dana berfokus ESG | DagangNews Skip to main content

Presto Technology terima kontrak RM10 juta daripada GGAF bantu inisiatif pengumpulan dana berfokus ESG

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 21 Okt - Anak syarikat terkemuka PUC Berhad (PUC), Presto Technology Sdn Bhd (Presto), menerima kontrak bernilai RM10 juta daripada organisasi bukan berasaskan keuntungan Green Growth Asia Foundation (GGAF), untuk mempromosikan amalan mampan bagi memerangi krisis iklim. 

 

Kerjasama itu menumpukan kepada pembangunan, pengurusan dan mempromosikan sistem pengurusan perhubungan pelanggan (CRM) yang canggih untuk aktiviti derma dan pengumpulan dana GGAF, yang dihoskan pada platform khusus.

 

Projek itu dijangka menyelaraskan usaha pengumpulan dana GGAF dan membolehkan jangkauan yang lebih cekap dan berkesan kepada penderma, seterusnya menyokong misinya untuk memacu inisiatif kemampanan di rantau ini. 

 

Langkah tersebut sejajar dengan komitmen berterusan PUC terhadap prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), mengukuhkan fokusnya kepada kemampanan alam sekitar dan impak sosial melalui penyelesaian teknologi yang inovatif.
 

 

Ketua Pegawai Komersial Kumpulan PUC, Wayne Lim Beng Chai menyatakan, pihaknya teruja untuk memulakan kerjasama dengan GGAF yang bukan sahaja menandakan kejayaan perniagaan strategik untuk Presto, tetapi juga satu langkah ke hadapan dalam dedikasi syarikat untuk menyokong kelestarian alam sekitar melalui teknologi. 

 

"Dengan perkongsian ini, kami menyasarkan untuk memperkasakan misi GGAF dalam memerangi krisis iklim, memberikan mereka alat untuk meningkatkan jangkauan dan penglibatan mereka dengan khalayak yang lebih luas," katanya dalam satu kenyataan.


 
Kerjasama itu dibuat ketika pembangunan mampan menjadi tumpuan global utama. 

 

GGAF telah berada di barisan hadapan dalam mempromosikan amalan mampan di Malaysia dan Asia Tenggara, menerusi kerjasama dengan pihak berkepentingan untuk melaksanakan strategi yang menangani krisis iklim dan isu alam sekitar yang berkaitan.


 
Ketua Eksekutif GGAF, Dr. Balamurugan Ratha Krishnan berkata, kerjasama dengan Presto menandakan satu peristiwa penting dalam usaha berterusan untuk memacu inisiatif kemampanan. 

 

"Sistem CRM yang dibangunkan oleh Presto akan membolehkan kami mengurus dan mengembangkan pangkalan penderma dengan lebih berkesan, yang akhirnya meningkatkan keupayaan syarikat untuk melaksanakan projek alam sekitar yang memberi impak. 

 

"Kita teruja dengan perkongsian ini dan percaya ia akan memainkan peranan penting dalam mencapai matlamat kemampanan kami," ujar beliau.


 
Dengan kontrak tersebut, Presto terus mengukuhkan reputasinya sebagai peneraju dalam pembangunan penyelesaian digital yang bukan sahaja memacu kejayaan perniagaan, tetapi juga menggalakkan hasil alam sekitar dan sosial yang positif. - DagangNews.com