KUALA LUMPUR 21 Okt - Kenanga Research menganggap matlamat kerajaan untuk mencapai defisit fiskal sebanyak 3.5% menjelang 2025 adalah 'terlalu optimis'.
Katanya, Belanjawan 2025 dilihat sebagai pengembangan sederhana dengan kerajaan menyasarkan untuk mencapai keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan penyatuan fiskal.
Firma penyelidikan itu percaya, langkah mengurangkan defisit fiskal dan keseluruhan nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kekal menyokong ekonomi domestik, pada masa sama memastikan impak minimum terhadap kesejahteraan rakyat walaupun melaksanakan agenda pembaharuan.
"Kementerian Kewangan (MOF) menjangkakan defisit fiscal mengecil kepada 3.8% pada 2025, turun daripada unjuran 2024 sebanyak 4.3%.
"Mengurangkan penyatuan fiskal boleh memberi lebih banyak ruang untuk menyokong pertumbuhan dalam persekitaran ketidaktentuan global yang semakin meningkat,” katanya dalam satu nota kajian, lapor Bernama.
Kenanga Research berkata, bagi meningkatkan hasil, kerajaan meluaskan asas cukai dengan cukai baharu termasuk cukai terhadap pendapatan dividen, cukai minimum global dan duti gula yang lebih tinggi.
Cukai jualan dan perkhidmatan (SST) akan diperluaskan secara berperingkat pada bulan Mei untuk merangkumi perkhidmatan komersial, barangan tidak penting dan import premium, e-invois untuk semua pembayar cukai akan dilaksanakan menjelang Julai 2025 manakala cukai karbon dijadual dilaksanakan pada 2026.
Secara keseluruhan, Kenanga Research berkata, ia percaya peruntukan tertinggi sebanyak RM421 bilion untuk Belanjawan 2025 menggariskan komitmen strategik kerajaan untuk menangani cabaran ekonomi, meningkatkan program sosial dan memupuk pertumbuhan, ia menunjukkan dedikasi kerajaan terhadap pembangunan mampan dan kesejahteraan sosial.
“Kerajaan menyasarkan untuk memacu pertumbuhan dan inovasi yang mampan dengan pelaburan strategik dan dasar disasarkan termasuk mempromosikan teknologi hijau, kecekapan tenaga, dan menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat bersaiz sederhana.
“Inisiatif ini akan menggalakkan keusahawanan dalam kalangan wanita dan belia dan memastikan daya tahan pertanian. Sektor pelancongan, kreatif dan digital akan terus mendapat sokongan manakala insentif-insentif utama akan menarik pelaburan bernilai tinggi dan membangunkan bakat tempatan,” katanya.
Menurutnya, usaha itu bertujuan untuk membina ekonomi yang berdaya saing, inklusif dan bersedia untuk masa depan.
Kerajaan juga memberi tumpuan untuk meningkatkan kebajikan sosial, gaji dan perkhidmatan awam dengan menaikkan gaji minimum, memperluaskan dasar gaji dan memperluaskan perlindungan keselamatan sosial untuk mereka yang bekerja sendiri.
Pelaburan besar akan menyokong program perumahan, penyelenggaraan infrastruktur awam dan kebajikan kanak-kanak, selain itu pengangkutan awam, termasuk pas mampu milik dan laluan bas, juga akan dinaik taraf.
MOF mengunjurkan pertumbuhan KDNK Malaysia 2025 pada 4.5% hingga 5.5%, meningkat daripada sasaran disemak semula sebanyak 4.8% hingga 5.3%.- DagangNews.com