Eksport Malaysia diramal kekal sederhana dalam beberapa bulan akan datang, kata HLIB | DagangNews Skip to main content

Eksport Malaysia diramal kekal sederhana dalam beberapa bulan akan datang, kata HLIB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Okt - Prestasi perdagangan Malaysia diramal kekal sederhana dalam beberapa bulan akan datang disebabkan prospek mencabar walaupun menerima manfaar daripada kepelbagaian struktur eksport yang pelbagai, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.

 

Katanya, eksport Malaysia menguncup 0.3% dari tahun ke tahun pada September 2024, jauh di bawah jangkaan konsensus pengembangan 8%.

 

Sebaliknya, import menyaksikan penurunan sebanyak 10.9% dari tahun ke tahun.

 

Data bulanan menunjukkan, kedua-dua eksport dan import merosot, dengan penurunan dalam import adalah lebih ketara daripada eksport.

 

Ini membawa kepada lebihan dagangan sebanyak RM13.2 bilion, berbanding lebihan dagangan sebanyak RM5.5 bilion yang dicatatkan pada Ogos 2024.

 

"Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) menaikkan unjurannya bagi pertumbuhan perdagangan barangan global kepada 2.7% untuk 2024, sebelum ini pada 2.6% dalam kemas kini Oktober 2024, tetapi memberi amaran bahawa ketegangan geopolitik yang semakin meningkat dan ketidaktentuan dasar ekonomi menimbulkan risiko penurunan yang besar kepada ramalan syarikat itu.

 

"Memandangkan prospek mencabar, prestasi perdagangan Malaysia juga dijangka kekal sederhana dalam beberapa bulan akan datang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2024 pada 5% dari tahun ke tahun.

 

Sementara itu, CIMB Securities berkata, memandangkan prospek pemulihan Malaysia yang kukuh, ia mengekalkan ramalannya untuk 2024 tidak berubah.

 

Katanya, eksport dijangka meningkat 8% berbanding penurunan 8% pada 2023, manakala import diunjur meningkat 18% berbanding penurunan 6.4% pada 2023.

 

Ini sejajar dengan ramalan KDNK CIMB Securities sebanyak 5.2% untuk 2024, berbanding 3.6% pada 2023.

 

“Bagaimanapun, risiko kekal, termasuk ketidaktentuan sekitar pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) dan ketegangan geopolitik yang meningkat, yang mungkin mengakibatkan gangguan perdagangan global dan turun naik pada 2025.

 

"Namun begitu, bank pusat global yang memulakan pelonggaran monetari akan memberikan sokongan kepada aktiviti perdagangan global," katanya.- DagangNews.com