MIDF kekal saranan neutral, pembatalan pembelian tanah tiada kesan material kepada Supermax | DagangNews Skip to main content

MIDF kekal saranan neutral, pembatalan pembelian tanah tiada kesan material kepada Supermax

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Feb - MIDF Research mengekalkan saranan 'neutral' terhadap Supermax Corp. Berhad dengan nilai RM1.20 sesaham dan melihat pembatalan pembelian dua bidang tanah pegangan bebas dengan tunai RM73.49 juta daripada anak syarikat SP Setia Berhad, Bandar Setia Alam Sdn. Bhd. tidak memberi kesan material kepada kumpulan itu.

 

Firma penyelidikan itu bagaimanapun berkata, kumpulan itu tetap akan berhadapan dengan beberapa cabaran namun ia tidak akan menjejaskan pendapatan mereka termasuk kemerosotan harga jualan purata (ASP) kenaikan harga bahan mentah serta peralihan dalam dinamik penawaran dan permintaan akibat peningkatan bekalan.

 

"Kami mengekal anggaran pendapatan kumpulan tidak berubah  kerana pembatalan pembelian tanah itu tidak akan memberi sebarang kesan jangka pendek kepada mereka, tujuan pembinaan bangunan di atas tanah tersebut adalah untuk melengkapkan keperluan operasi.

 

"Bagaimanapun, sebagai sebahagian daripada rancangan memajukan kumpulan, kami melihat mereka masih berminat untuk membeli tanah untuk menyokong keperluan operasinya dan pada masa sama akan meneliti peluang lain," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Pembatalan pembelian tanah itu adalah berpunca daripada kegagalan mereka mendapatkan kelulusan daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk mengetepikan 30% syarat pemilikan ekuiti bumiputera sebelum pemindahan hak milik tanah itu.

 

Terdahulu dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, Supermax berkata, cadangan pengambilalihan ini tertakluk kepada kelulusan EPU untuk pemindahan pemilikan tanah jika Maxter memenuhi 30% pemilikan ekuiti bumiputera.

 

BACA JUGA: Supermax batal pembelian tanah bernilai RM73.49 juta daripada SP Setia

 

Pada 24 Mei 2021, Maxter telah mengemukakan rayuan untuk mengetepikan syarat kelulusan EPU, tetapi telah diltolak pada 15 Disember 2021.

 

Pada 21 September 2020, Supermax menerusi Maxter memeterai perjanjian jual beli dengan Bandar Setia Alam untuk membeli dua bidang tanah berukuran kira-kira 1.99 hektar (hampir 4.962 ekar) di Bukit Raja.

 

Syarikat pengeluar sarung tangan getah itu merancang untuk membina ibu pejabat operasi bagi anak syarikat milik penuhnya, Maxter Glove Manufacturing Sdn. Bhd. di kawasan tersebut yang terletak di Setia Alam, Selangor.

 

Susulan penamatan itu, kumpulan berkata, jumlah bayaran balik deposit termasuk duti setem telah diterima dengan sewajarnya oleh Supermax pada 27 Januari dan kaveat ke atas tanah itu ditarik balik berkuat kuasa 31 Januari. - DagangNews.com