Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 1 Okt. - MIDF Research mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap sektor perbankan di negara ini.
MIDF Research berkata, penarafan tersebut dibuat berdasarkan penilaian pihaknya terhadap kualiti aset selepas pinjaman moratorium.
"Kami juga menyedari adanya peningkatan seperti pertumbuhan pinjaman yang lebih pantas dan pertumbuhan deposit CASA (akaun semasa dan akaun simpanan).
"Bagaimanapun, keprihatinan kami terhadap kualiti aset pada ketika ini adalah tinggi dan kami meramalkan ia akan memerlukan sedikit masa unutk kembali normal.
"Kami juga tidak meramalkan sebarang tekanan dalam sektor perbankan dalam menghadapi arus semasa," jelas MIDF Research.
Sistem pinjaman perbankan menyaksikan pertumbuhan stabil pada Ogos 2020 kepada 4.4% berbanding 4.5% yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.
MIDF Research percaya, pertumbuhan tersebut didorong oleh rangsangan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
Pinjaman bagi tujuan pembelian hartanah kediaman dan pinjaman automatik terus mencatatkan peningkatan lebih tinggi kepada 7.5% pada Ogos berbanding 7.3% pada Julai.
MIDF Research turut memilih Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) sebagai pilihan utama dengan saranan 'beli' saham pada harga sasaran sesaham (TP) RM4.25.
Pilihan tersebut dibuat disebabkan oleh kualiti aset BIMB yang diharap stabil pada akaun berdasarkan profil peminjamnya. - DagangNews.com