MIDF kekalkan saranan ‘beli’ saham Sapura Energy | DagangNews Skip to main content

MIDF kekalkan saranan ‘beli’ saham Sapura Energy

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Dis. - MIDF Research masih mengekalkan saranan ‘beli’ saham Sapura Energy Berhad (SEB) berdasarkan prestasi suku ketiga tahun kewangan 2021 (3Q21) syarikat itu yang dikeluarkan semalam. 

 

Namun, sasaran harga (TP) SEB tidak berubah apabila MIDF tidak melakukan pindaan terhadap ramalan perolehan FY21 kumpulan syarikat itu.

 

MIDF melihat SEB dalam landasan tepat ke arah jangkaan perolehan yang dibuatnya.

 

“Kami berpendapat walaupun ketidaktentuan terhadap persekitaran operasi masih ada dan bertambah teruk dengan perkembangan kes COVID-19 ketika ini, namun kami menjangkakan SEB mampu mengekalkan keuntungan suku tahun memasuki FY22. 

 

“Ini didorong oleh inisiatif mengoptimumkan kos yang berterusan sehingga FY22 - kira-kira RM500 juta akan dilaksanakan pada tahun kewangan semasa, pergerakan stabil dalam harga minyak mentah yang akan mengekalkan dan menggalakkan tempahan pada masa akan datang serta mengekalkan margin (12-13%) daripada segmen kejuruteraan dan pembinaan (E&C),” kata MIDF dalam nota kajiannya hari ini. 

 

Semalam, SEB mengumumkan keuntungan 3Q21 bernilai RM17.5 juta. 

 

Ini menjadikan perolehan terkumpul sembilan bulan FY21 bernilai RM55.1 juta di mana melebihi jangkaan pasaran. 

 

Keuntungan yang diperoleh pada suku itu didorong oleh segmen E&C yang bertambah baik di mana menyaksikan margin keuntungan melonjak kepada 13.0% berbanding hanya 1.0% pada 3QFY20.

 

Dalam masa sama, MIDF percaya perolehan itu akan melonjak pada FY22 sejajar dengan peningkatan bertahap dalam tonggak pelaksanaan projek E&C yang akan menghapuskan kesan margin meruncing dan kadar piagam persaingan yang melanda segmen penggerudiannya.

 

“Kami juga menjangkakan prestasi lebih baik dalam segmen penerokaan dan pengeluaran (E&P) pada FY22 memandangkan kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) SK408 dan SK310 untuk Gorek, Larak dan Bakong dijangka kekal stabil dengan peningkatan pengeluaran pada masa hadapan. 

 

“SEB juga akan mendapat keuntungan daripada pemulihan harga minyak baru-baru ini yang akan mendorong kenaikan harga pada 4Q21 dan FY22,” tambah MIDF. 

 

Secara keseluruhannya, MIDF menekankan harga saham SEB ketika ini menawarkan peluang baik untuk mengumpulkan ekuiti syarikat itu berdasarkan harga minyak yang dijangka stabil sepanjang tahun 2021, kemampuan SEB untuk meraih lebih banyak kontrak dan saham itu diniagakan pada kadar perolehan dan harga yang menarik. - DagangNews.com