MIDF kekalkan saranan 'neutral' terhadap saham Panasonic akibat beberapa faktor | DagangNews Skip to main content

MIDF kekalkan saranan 'neutral' terhadap saham Panasonic akibat beberapa faktor

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Jan - Firma penyelidikan, MIDF Research mengekalkan saranan 'neutral' terhadap saham Panasonic Manufacturing Malaysia  Berhad (Panasonic) dengan harga sasaran RM30.45 sesaham kerana terdapat beberapa faktor memberi kesan kepada operasi kumpulan.

 

Antara cabaran yang dihadapi termasuk pandemik COVID-19 selain banjir di Shah Alam yang memberi kesan kepada operasi harian selain peningkatan kos bahan mentah serta kekurangan pekerja yang menyebabkan mereka terpaksa menggunakan penyedia perkhidmatan penyumberan luar bagi menyelsaikan isu berkenaan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini memberi kesan kepada operasi perkilangan SA2 yang terletak di Seksyen 23, Shah Alam dan menjejaskan lebih 15% pembekal serta memberi kesan kepada keseluruhan rantaian perniagaan.

 

Peningkatan harga bahan mentah seperti tembaga, aluminium dan besi meningkat antara 38% ke 76% bermula sejak November 2020 dan menyebabkan berlaku peningkatan harga penjualan produk bermula Januari 2022 antara 5% ke 10% dandijangka terus meningkat pada April 2022.

 

"Syarikat itu sedang berusaha untuk meneruskan operasi dengan mendapatkan bahan daripada pembekal lain serta meminta bantuan subkontraktor untuk meneruskan operasi.

 

"Syarikat juga sedang membuat penilaian terperinci terhadap kerugian yang dihadapi akibat banjir dan tidak dapat menentukannya sehingga syarikat beroperasi secara penuh selain bekerjasama dengan syarikat insurans untuk proses tuntutan akibat bencana alam.

 

"Setakat ini, nisbah pembuatan kipas dan vakum adalah 40% dan 80% dengan kilang SA2 sudah memulakan sebahagian daripada operasi dan dijangka beroperasi penuh pada Mac 2022," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan, Panasonic akan mengambil langkah yang lebih bijak dalam usaha meningkatkan keupayaan pembuatan dalaman.

 

Katanya, bangunan baharu di kilang SA2 akan digunakan untuk meningkatkan pengeluaran dalaman menerusi penyediaan kemudahan semburan automatik robotik baharu.

 

Mereka juga akan beralih kepada penghasilan acuan dan alat ganti tersendiri berbanding menggunakan penyedia perkhidmatan penyumberan luar.

 

"Pada masa hadapan, kami menjangkakan unjuran hasil untuk segmen kipas dan vakum akan bertambah baik dengan pemulihan pesanan tertunggak akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini yang menjejaskan pembukaan kedai barangan elektrik," katanya. - DagangNews.com