MIDF kekalkan unjuran IPP tahun ini pada 6.3% | DagangNews Skip to main content

MIDF kekalkan unjuran IPP tahun ini pada 6.3%

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 12 April - MIDF Research mengekalkan unjuran Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia akan kembali pulih dan berkembang 6.3% tahun ini. 

 

Dalam nota kajian, firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan luaran yang kukuh dan pemulihan dalam penggunaan di peringkat domestik akan menyokong pertumbuhan ini. 

 

Selain itu, perbelanjaan perniagaan juga akan menyokong kembali pemulihan dalam aktiviti pengeluaran tempatan.

 

"Aktiviti ekonomi domestik akan meningkat apabila sekatan dilonggarkan ekoran penurunan jangkitan kes COVID-19 yang menurun serta jumlah kes aktif. 

 

"Kesan asas yang rendah disebabkan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan tahun lalu turut mendorong pertumbuhan IPP yang kukuh tahun ini terutama suku kedua 2021," katanya. 

 

IPP yang merupakan antara petunjuk utama ekonomi, berkembang 1.5% tahun ke tahun pada Februari 2021 dipacu peningkatan 4.5% dalam indeks pembuatan.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin bagaimanapun berkata, indeks perlombongan dan elektrik, masing-masing menguncup 6.0% dan 5.8%.

 

Indeks pengurus pembelian (PMI) pembuatan Malaysia turut mencatat peningkatan pada Mac 2021 mencerminkan aktiviti sektor pembuatan yang stabil. 

 

Bagaimanapun, menurut firma itu, terdapat beberapa risiko penurunan yang akan menjejaskan pertumbuhan terutama gangguan bekalan dan kekurangan bahan mentah boleh menganggu aktiviti pengeluaran sektor berkaitan.

 

"Kenaikan jangkitan kes COVID-19 dan juga perkembangan yang perlahan dalam agihan vaksin juga akan menyebabkan sekatan yang berpanjangan di beberapa buah negara. 

 

"Ini secara tidak langsung akan menjejaskan prospek bagi aktiviti perdagangan antarabangsa jika lebih banyak sekatan yang ketat diperkenalkan bagi mengekang wabak COVID-19," katanya. - DagangNews.com