MIDF lancar aplikasi pelaburan saham AS, MIDF Invest | DagangNews Skip to main content

MIDF lancar aplikasi pelaburan saham AS, MIDF Invest

CHARON WARDINI MOKHZANI (kiri, atas), Khairi Shahrin Arif Baki (kanan, atas), Ahmad Farouk Mohamed (kiri, bawah) dan Dominic Silva (kanan, bawah), pada majlis pelancaran MIDF Invest secara maya hari ini.
 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Julai - MIDF Amanah Investment Bank Berhad, anak syarikat penuh kepada Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) memperkenalkan aplikasi pelaburan saham-saham di Amerika Syarikat (AS), MIDF Invest. 

 

MIDF Invest memberi akses secara langsung dan selamat kepada rakyat Malaysia untuk melabur ke dalam saham yang tersenarai di Bursa Saham New York (NYSE) dan Nasdaq pada kadar yang kompetitif.

 

Naib Presiden Kanan dan Ketua Digitalisasi untuk MIDF, Khairi Shahrin Arif Baki berkata, sekarang merupakan waktu sesuai untuk pelaburan di dalam saham-saham tersenarai di AS susulan trend harga ekuiti yang menarik. 

 

“Saham AS merupakan pasaran yang menarik, dan telah melonjak dalam tempoh beberapa tahun yang lalu. Apabila kita bercakap mengenai Zoom ataupun mana-mana syarikat teknologi, pada pandemik ketika ini, harga-harga (saham) mereka menonjolkan prestasi sangat baik. 

 

“Disebabkan situasi semasa, syarikat-syarikat ini berprestasi baik kerana ramai yang bekerja dari rumah dan terdapat permintaan tinggi. Jika ditanya adakah ini waktu yang sesuai untuk melabur dalam saham AS, jawapannya adalah ya,” katanya dalam sidang media pada majlis pelancaran MIDF Invest secara maya hari ini. 

 

Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Datuk Charon Wardini Mokhzani; Ketua Jabatan Pengarah Urusan MIDF, Ahmad Farouk Mohamed; dan Ketua Pegawai Eksekutif MIDF Amanah Investment Bank, Datuk Dominic Silva.

 

Sempena pelancaran itu, institusi kewangan tersebut turut menawarkan yuran brokeraj secara percuma bermula 6 Julai hingga 31 Julai 2021 untuk semua dagangan di bawah AS$1,000.

 

Selain menawarkan peluang pelaburan, MIDF Invest juga menyediakan tutorial dan penyelidikan untuk mereka yang baru menceburi aktiviti pelaburan, membuat peta dan alat perdagangan lain serta mempermudahkan pemindahan dana ke dan dari akaun bank pelabur Malaysia.

 

Dalam pada itu, pengguna juga boleh membuka akaun Islam dan melabur di dalam saham-saham yang patuh syariah seperti Apple, Alphabet, Facebook dan Tesla serta dana dagangan bursa yang tersenarai di NYSE dan Nasdaq.

 

Menurut Charon Wardini, MIDF menyaksikan minat yang kian meningkat dalam pelaburan di pasaran saham lain, terutamanya AS.

 

“Ini didorong oleh keperluan untuk mempelbagaikan portfolio seseorang di samping minat terhadap pulangan yang tinggi di pasaran AS, dipacu oleh prestasi syarikat-syarikat teknologi. 

 

“Kami membangunkan aplikasi ini kerana kami percaya bahawa pelaburan di luar negara perlu disediakan dan diberikan pada kadar berpatutan kepada semua,” ujarnya lanjut. - DagangNews.com