MIDF lancar skim pembiayaan untuk PKS | DagangNews Skip to main content

MIDF lancar skim pembiayaan untuk PKS

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Sept. - Sebagai usaha membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) ketika penularan COVID-19,Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), menerusi entiti perniagaannya, Divisyen Kewangan Pembangunan (DFD) melancarkan skim pembiayaan terbaharu iaitu Skim Pembiayaan Mudah Digital dan Teknologi.

Skim pembiayaan itu ditawarkan untuk semua sektor dan bertujuan memupuk penggunaan teknologi digital dalam kalangan PKS, sekali gus meningkatkan daya saing, kecekapan dan kebolehpasaran. 

Ketua DFD, Azizi Mustafa berkata, usaha untuk menggalakkan usahawan menggunakan platfom digital dan atas talian merupakan kunci untuk kekal relevan di mana perniagaan  tidak hanya tertumpu kepada interaksi fizikal serta hanya menjadikan masyarakat tempatan sebagai kumpulan sasaran dalam perniagaan. 

“PKS merupakan komponen penting dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi Malaysia. Oleh itu, MIDF percaya skim yang diperkenalkan ini dapat membantu PKS untuk menyesuaikan diri dalam peralihan digital sejajar dengan perkembangan teknologi. 

 

Azizi Mustafa
Azizi Mustafa

 

“Menerusinya, para PKS akan lebih berdaya saing dalam mengembangkan perniagaan mereka sehingga menembusi pasaran antarabangsa dengan kos operasi yang lebih rendah,” kata Azizi dalam satu kenyataan hari ini. 

Skim Pembiayaan Mudah Digital dan Teknologi menawarkan pembiayaan sebanyak RM1 juta atau bantuan sehingga 90% daripada jumlah keseluruhan kos barangan yang terpilih. 

Pembiayaan itu mencakupi yuran undang-undang selain kadar faedah serendah 4%. 

Mereka yang berminat untuk mendapatkan skim itu boleh menghubungi Business Advisory Unit MIDF menerusi talian 1-300-88-6433 atau e-mel ke GrowYourBusiness@midf.com.my. 

Selain itu, mereka juga boleh pergi ke pejabat MIDF untuk mendapatkan khidmat nasihat bagi mengembangkan perniagaan. 

Business Advisory Unit adalah pusat nasihat utama bagi PKS yang menyediakan khidmat nasihat mengenai kemudahan dan insentif pembiayaan yang disediakan oleh MIDF. 

Unit itu telah dilancarkan pada bulan September 2019 bagi menyediakan akses maklumat berkaitan kemudahan seperti pemberian geran dan jaminan oleh agensi kerajaan. - DagangNews.com