KUALA LUMPUR 19 Ogos - MIDF Research mengurangkan harga sasaran MISC Bhd. kepada RM7.48 daripada RM7.83 sesaham sebelum ini selepas menyemak semula unjuran pendapatannya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) hingga FY24.
Bagi tempoh itu, firma tersebut mengurangkan unjuran keuntungan masing-masing sebanyak 27% dan 12% berikutan prestasi kewangan suku kedua yang kurang memuaskan meskipun prospek kumpulan kekal cerah.
Pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022, MISC merekodkan kerugian bersih berjumlah RM19.1 juta berbanding keuntungan bersih RM538.8 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya meskipun pendapatannya meningkat 36.5% kepada RM3.21 bilion.
Prestasi keseluruhan pada suku berkenaan terjejas susulan rosot nilai perakaunan dalam beberapa syarikat pengangkut gas asli cecair (LNG) yang sudah wujud lebih lama termasuk pelarasan yang dibuat ke atas perakaunan pajakan kewangan membabitkan projek kemudahan pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) Mero 3 yang sedang dilaksanakan.
Menurut MIDF Research, ia masih berhati-hati terhadap kenaikan kadar faedah dan permintaan China yang lemah di sebalik prospek MISC yang positif dalam tempoh jangka pendek berikutan permintaan dan bekalan minyak global yang semakin pulih.
Faktor itu, katanya, boleh menjejaskan pelaksanaan projek kumpulan tepat pada masanya, sebagai tambahan kepada pasaran minyak dan gas yang tidak menentu akibat perang Rusia-Ukraine yang berterusan dan bekalan yang ketat.
"Namun begitu, kami percaya MISC akan mengambil strategi bagi meminimumkan kesan daripada cabaran ini dalam jangka masa panjang," katanya dalam nota kajian hari ini.
Firma itu berkata, kenaikan harga minyak sejak awal 2022 dan perbelanjaan modal global untuk penerokaan dan pengeluaran (E&P) yang dijangka mencecah AS$132 bilion menjelang akhir tahun ini, dijangka memacu usaha niaga huluan MISC.
Pada masa sama, katanya, projek baharu FPSO sehingga 2023 dijangka tertumpu sekitar Amerika Selatan terutama Brazil dan Guyana.
"Selain itu, pernigaan marin MISC kekal meyakinkan di tengah-tengah ketidaktentuan yang disebabkan gangguan rantaian bekalan, harga komoditi dan masalah kekurangan buruh," katanya.
Setakat 11.13 tengah hari ini, harga sahamnya menokok 11 sen atau 1.6% kepada RM6.98 dengan 655,700 saham diniagakan. - DagangNews.com