MIDF Research jangka BNM kekalkan OPR pada 3% sepanjang tahun ini disokong persekitaran inflasi teras yang rendah | DagangNews Skip to main content

MIDF Research jangka BNM kekalkan OPR pada 3% sepanjang tahun ini disokong persekitaran inflasi teras yang rendah

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 24 Jan - Status quo kadar dasar semalaman (OPR) mungkin dikekalkan sepanjang tahun ini berikutan persekitaran inflasi teras yang rendah, kata MIDF Research.

 

Susulan Mesyuarat Dasar Monetari (MPC) pertama bagi tahun ini, BNM telah mengekalkan OPR pada 3%, sejajar dengan jangkaan pasaran.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Bank Negara kekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3 peratus

 

Firma penyelidikan itu berkata tumpuan penetapan dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM) adalah untuk memastikan momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan.

 

Walaupun ekonomi negara kini dalam pemulihan, persekitaran luaran akan kekal mencabar pada 2024 disebabkan oleh ketegangan geopolitik dan potensi pertumbuhan global yang lebih perlahan.

 

Firma itu berkata tinjauan ekonomi domestik diramal kekal berwaspada dan berdaya tahan disokong oleh permintaan dalam negeri yang stabil.

 

“Namun, kadar inflasi teras yang kian stabil dan cabaran persekitaran luaran mungkin mempengaruhi BNM untuk mengekalkan OPR pada paras semasa sepanjang 2024.

 

“Keputusan tersebut akan tertakluk kepada kestabilan pertumbuhan ekonomi, kadar kenaikan harga dan keadaan makroekonomi terus bertambah baik, terutamanya pemulihan berterusan dalam pasaran buruh dan permintaan domestik yang semakin meningkat,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Dari perspektif jangka sederhana pula, MIDF Research berkata normalisasi kadar dasar diperlukan untuk mengelakkan risiko yang boleh menjejaskan kestabilan prospek ekonomi masa depan seperti inflasi yang berterusan tinggi dan peningkatan selanjutnya dalam keberhutangan isi rumah.

 

Mengulas tentang ringgit, firma penyelidikan itu berkata ia berada dalam kedudukan yang baik untuk mengukuh pada 2024 memandangkan ekonomi domestik kekal pada momentum yang memberangsangkan.

 

Sebagai pengeksport komoditi bersih (petroleum mentah, gas asli cecair [LNG] dan minyak sawit), firma itu berpendapat bahawa ringgit memperoleh keuntungan daripada harga komoditi global yang menyokong dan lebihan perdagangan yang mampan.

 

“Paling penting, Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat dan bank pusat utama lain telah mengalihkan pendirian monetari mereka daripada agresif kepada lebih berdiplomasi dan berkemungkinan besar akan mengurangkan kadar pada 2024.

 

“Kami menjangkakan purata USD/MYR pada RM4.38 sedolar Amerika Syarikat dan mencecah RM4.20 menjelang akhir tahun 2024,” tambahnya.  - DagangNews.com