MIDF Research jangka harga telur ayam naik dalam tempoh terdekat | DagangNews Skip to main content

MIDF Research jangka harga telur ayam naik dalam tempoh terdekat

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Jun - Memandangkan bekalan telur ayam terhad di Malaysia, MIDF Research menjangkakan terdapat potensi kenaikan harga dalam tempoh terdekat.

 

Firma itu berkata, selain itu, wabak selesema burung global menyebabkan pengurangan bekalan telur di negara lain yang berpotensi menjadikan telur import lebih mahal di Malaysia.

 

Bagaimanapun, firma itu positif mengenai pemansuhan had harga ayam dan telur mulai 1 Julai 2023 dan seterusnya kerana penternak ayam itik mempunyai fleksibiliti harga yang lebih besar sebagai tindak balas kepada perubahan dalam kos input.

 

Katanya, perubahan itu membolehkan kuasa pasaran menentukan harga berdasarkan keadaan penawaran dan permintaan.

 

"Pada April 2023, harga purata ayam ialah RM10.45/kg manakala 47 sen untuk sebiji telur ayam Gred A, 45 sen (Gred B) dan 44 sen (Gred C).

 

"Kami percaya bahawa harga terapung ayam tidak sepatutnya mengalami kenaikan yang ketara selepas pemansuhan kawalan harga tetapi harga telur mungkin meningkat disebabkan bekalan yang terhad di dalam dan di luar negara," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Sebelum ini, harga kawalan ayam dan telur dikenakan pada Julai 2022. 

 

Pada masa ini, di Semenanjung Malaysia, harga siling harga ayam standard ialah RM9.40/kg, manakala harga siling telur ialah 45 sen untuk Gred A, 43 sen untuk Gred B, dan 41 sen untuk Gred C.

 

Subsidi untuk telur akan tamat pada 30 Jun 2023.

 

Firma itu berkata, penurunan baru-baru ini dalam harga kontrak niaga hadapan bagi makanan kacang soya global (penurunan 1.8%) dan jagung ( penurunan 29.4%) pada Mei 2023, boleh memberikan sedikit kelegaan kepada tekanan kos ayam itik dan boleh membantu mengimbangi peningkatan kos buruh dan elektrik.

 

"Oleh itu, kami percaya bahawa penghapusan kawalan harga selepas Julai 2023 akan membolehkan penternak ayam mempunyai lebih fleksibiliti harga untuk menyampaikan kos input yang lebih tinggi kepada pengguna dan meningkatkan margin keuntungan," katanya.

 

Secara keseluruhan, firma itu positif terhadap propek sektor pengguna didorong daya tahan produk makanan ruji, permintaan kukuh dalam penggunaan domestik disokong pasaran tenaga kerja yang stabil selain peningkatan aktiviti pelancongan.

 

"Margin keuntungan kukuh bagi pengeluar F&B didorong oleh kejatuhan harga bahan mentah dan kenaikan harga sebelumnya, mengimbangi tekanan kos lain dan harga komoditi yang normal untuk makanan ternakan berkemungkinan mengurangkan kos input yang tinggi untuk penternak ayam," katanya. - DagangNews.com