MIDF Research jangka kerajaan pertimbang langkah turunkan harga runcit RON95, diesel | DagangNews Skip to main content

MIDF Research jangka kerajaan pertimbang langkah turunkan harga runcit RON95, diesel

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Julai - MIDF Research menjangkakan kerajaan akan mempertimbangkan langkah untuk menurunkan harga runcit petrol RON95 dan diesel sekiranya inflasi makanan terus meningkat serta memberi tekanan kepada pendapatan pengguna.

 

Firma itu berkata, sebagai pengimport makanan bersih dan keadaan itu diburukkan lagi oleh nilai ringgit yang menyusut, adalah sukar bagi kerajaan untuk membendung inflasi makanan.

 

Katanya, bagi tekanan pendapatan, prospek dagangan luar yang suram akan menambah lebih banyak kelemahan kepada aktiviti perkilangan dan ekonomi keseluruhan.

 

"Kami menjangkakan kerajaan akan menurunkan harga RON95 sebanyak 10 sen," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, sekiranya kerajaan menurunkan harga RON95 sebanyak 10 sen kepada RM1.95 seliter bulan depan, kadar inflasi utama Malaysia dijangka susut kepada 2.9% bagi 2023 memandangkan inflasi bukan makanan terus menyederhana kepada 1.3%, manakala inflasi pengangkutan akan menguncup sebanyak 1.7%.

 

Katanya, menjelang akhir tahun ini, pemotongan 10 sen itu akan menjadikan kadar inflasi bulanan lebih rendah kepada 1.9% tahun ke tahun, bermakna kerajaan akan mempunyai tambahan RM4.31 bilion untuk perbelanjaan fiskal, yang boleh digunakan untuk matlamat lain.

 

"Selain itu, kerajaan akan mempunyai ruang fiskal yang lebih baik, memandangkan bahawa nisbah hutang fiskal berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah susut kepada 59.3% pada suku pertama 2023, dan dengan mengambil kira liabiliti luar jangka, angka terkini adalah 76.1%," katanya.

 

Firma itu turut menjangkakan bahawa subsidi bersasar membabitkan bahan api terutama untuk RON95 dan diesel tidak akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini.

 

Katanya, bahan api runcit mempunyai alternatif yang terhad berbanding dengan minyak masak dan elektrik. Selain itu, pengangkutan awam bersepadu dan cekap hanya terdapat di Lembah Klang namun ia khusus untuk kawasan tertentu.

 

"Walaupun kenderaan elektrik (EV) adalah alternatif lain, peralihan daripada kenderaan berkuasa bahan api kepada kenderaan berkuasa elektrik tidak akan berlaku dalam tempoh terdekat," katanya.

 

Firma itu berkata, faktor kedua yang dibimbangi memberi kesan seandainya subsidi bersasar bahan api dilaksanakan adalah golongan B40.

 

"Jika kerajaan menggunakan ukuran pendapatan isi rumah nasional B40 iaitu pada RM3,166 sebagai penanda aras bagi penerima bahan api bersubsidi, kenaikan harga bahan api akan membawa kepada tekanan kos sara hidup yang lebih tinggi kepada golongan ini di negeri seperti Johor, Melaka, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu dan Kuala Lumpur," katanya.

 

Kerajaan membelanjakan sebanyak RM42 bilion untuk subsidi bahan api pada tahun lalu, merangkumi sebahagian besar daripada perbelanjaan subsidi keseluruhan. - DagangNews.com