MIDF Research jangka pelupusan tanah, bangunan bantu biayai perbelanjaan modal Unisem | DagangNews Skip to main content

MIDF Research jangka pelupusan tanah, bangunan bantu biayai perbelanjaan modal Unisem

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 April - MIDF Research menjangkakan tindakan Unisem (M) Berhad menerusi anak syarikatnya, PT Unisem melupuskan tanah dan bangunan berkeluasan 30,271 kaki persegi di Batam Indonesia bernilai AS$34.0 juta (RM143.50 juta) akan membantu mereka membiayai operasi termasuk perbelanjaan modal.

 

Firma penyelidikan itu berkata, tindakan melupuskan aset berkenaan memberi kesan positif kepada kumpulan keranan ia membolehkan mereka mendapatkan bantuan kewangan selepas penutupan kilang PT Unisem pada 2019 dan 2020.

 

"Menerusi penjualan itu, ia akan memberi impak positif dari segi kewangan kumpulan dengan perolehan bersih sebanyak RM130.7 juta.

 

"Bagaimanapun, kami tidak akan membuat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatan untuk FY22/23 sementara menunggu urusan pelupusan itu selesai," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, PT Unisem telah memeterai perjanjian jual beli (SPA) bersyarat dengan PT Infineon Technologies bagi utusan pelupusan tanah dan bangunannya di Batam.

 

PT Unisem telah memberhentikan operasinya pada Mac 2020 dan sejak itu pihak pengurusan telah meletakkan tanah dan bangunan untuk dilupuskan dalam pasaran.

 

Firma penyelidikan itu optimis bahawa Unisem sudah bersedia untuk memanfaatkan perkembangan 5G dan Internet Kebendaan (IoT) selepas melihat permintaan yang kukuh dalam semua segmen pasaran.

 

Mereka juga yakin dengan prospek pertumbuhan berdasarkan kepada perancangan pengewangan cip di China menerusi perkongsian strategik bersama TSHT.

 

"Selepas mengambil kira semua faktor, kami mengekalkan saranan 'beli' untuk saham Unisem dengan harga sasaran (TP) RM4.33 sesaham," katanya. - DagangNews.com